31 Oktober 2010

Lima negeri dapat ketua polis baru

22 Zulkaedah 1431H.

Empat naik pangkat, satu berpindah

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam mengumumkan penstrukturan semula kepemimpinan pasukan itu yang membabitkan kenaikan pangkat dan pertukaran ketua serta timbalan ketua polis negeri.

Pelantikan berkuat kuasa serta-merta itu membabitkan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah yang menggantikan Datuk Khalid Abu Bakar sebagai Ketua Polis Selangor dan Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd Ghani menggantikan Datuk Robiah Abdul Ghani sebagai Ketua Polis Pahang. Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, ketika mengumumkannya pada persidangan media selepas mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di Bukit Aman semalam, berkata penstrukturan semula semua jawatan adalah lanjutan daripada pelantikan empat Pengarah Jabatan yang diumumkan pada 13 Oktober lalu.

"Pelantikan dibuat dengan mengambil kira semua aspek termasuk pengalaman, kebolehan, kemampuan dan kredibiliti mereka. Saya yakin mereka mampu mengendalikan dan memastikan kesinambungan era baru ke arah memartabatkan pasukan polis," katanya.

Mesyuarat SPP di Bukit Aman semalam, dipengerusikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Pada 13 Oktober lalu, Ismail mengumumkan Khalid dilantik Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman; Robiah sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman; Datuk Noor Rashid Ibrahim sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Bukit Aman dan Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan sebagai Pengarah JSJ Komersial.

Ismail turut mengumumkan jawatan Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan diisi oleh Timbalan Pengarah Pengurusan Perkhidmatan/Jawatan PDRM, Datuk Ahmad Ibraham, manakala Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Hamzah Taib menggantikan Datuk Noor Rashid Ibrahim sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah pula dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur, menggantikan Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, manakala Komandan Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Datuk Amar Singh Ishar Singh dilantik Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, menggantikan Datuk Abdul Samah Mat.

Beliau berkata, jawatan ketua polis negeri serta jawatan berkaitan yang belum diisi akan dilaksanakan pada pertengahan bulan depan selepas SPP bermesyuarat buat kali ketiga.

Selain itu, beliau mengumumkan tiga Pengarah Jabatan PDRM dinaikkan gred ke Jusa A, iaitu Pengarah Cawangan Khas Datuk Akhil Bulat; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin; dan Khalid.

“Mesyuarat turut mengesahkan jawatan yang dipangku seramai 53 pegawai kanan polis berpangkat Superintendan sehingga Deputi Komisioner Polis. Nama pegawai lain yang belum disenaraikan bagi tujuan kenaikan dan pertukaran pangkat akan diumumkan pertengahan November apabila SPP dijadualkan bermesyuarat," katanya.

3 ulasan:

MIBU BULAN. berkata...

Salam YB......
Tahniah kepada Datuk Tun Hisan Tun Hamzah atas perlatikan sebagai KETUA POLIS Selangor yang baru..... Saya tahu Datuk seorang PEGAWAI pOLIS YANG TEGAS,AMANAH dan JUJUR..... Bersikap adil dan berpegang teguhlah kepada perinsip Kepolisian... Semuga ALLAH memberi kekuatan pada Datuk bagi memegang amanah yang amat berat ini..... Salam dari X Sgt Ibrahim yang pernah bertugas dng Dtok satu ketika dahulu......

Tanpa Nama berkata...

Bersyukurlah bagi yang dinaikkan pangkat,amanah tetap sebagai amanah yang akan dihisab oleh ALLAH SWT di akhirat nanti.

Tanpa Nama berkata...

datuk wira sabtu osman tkar ke mana?