28 Disember 2010

Anwar - Undi kerana sentimen, itu salah!

Tendensi pengundi Melayu memberi undi untuk mengangkat sesebuah kerajaan berpandukan sentimen adalah satu percaturan yang silap. Kesilapan berlaku apabila mereka malas mengangkat darjat akal. Akal yang menjadi aset paling berharga dalam diri manusia dipenyek oleh nafsu sehingga nafsu mendapat ruang udara yang begitu selesa untuk membuat percaturan bagi pihak tuannya. Nafsulah yang mencipta sentimen dan melenyapkan kewarasan budi..

Mana mungkin seseorang itu dapat mencipta keputusan yang bijak dengan berpandukan sentimen?

Mengundi ialah kerja politik yang amat penting dalam sistem demokrasi. Sebelum mengundi, masing-masing sudah memahat simbol parti yang akan dipangkah. Simbol itu bukan dipahat sebaik Parlimen atau DUN dibubarkan. Malah bagi sesetengah orang pahatan itu telah berpuluh tahun usianya. Kalaulah pahatan itu besi, maka sudah berkarat besi itu.

Ada pengundi Saluran 1 berkata, “Pakcik dah pangkah dacing sejak kapal layar lagi.” Kapal layar itu merujuk kepada Parti Perikatan sebelum tertubuhnya Barisan Nasional. Seolah-olahnya sejak merdeka hingga alaf baru ini, dunia tidak pernah berubah. Bagi mereka UMNO sentiasa moleh sejak dulu, kini dan selama-lamanya. Mereka tidak dapat membezakan kepimpinan Tengku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn dengan kepimpinan Tun. Dr. Mahathir, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Seri Najib. Apalagi untuk mereka sedari bahawa UMNO sebenar telah lama berkubur. Yang ada sekarang ialah UMNO Baru yang dibuang perkataan ‘Baru’nya.

Sejak dasar penswastaan yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir, UMNO bukan lagi berjuang untuk rakyat. Mereka juga tidak layak dipanggil wakil rakyat. Sebahagian besar ADUN atau AP-nya adalah wakil perut dan kroni. Mereka mengaut keberuntungan ekonomi yang tidak pernah berkecukupan. Mereka mencari sekawah lauk konon untuk dijamu bersama rakyat. Namun senduk mereka cukup besar untuk mengaut segala isi yang lazat-lazat maka ditinggalkanlah untuk rakyat yang mengundinya kuah agar dapat dihirup beramai-ramai. JKKK-lah yang menjadi tukang membahagikan kuah itu. Sempat juga JKKK merasai seketul dua daging yang ditinggalkan oleh wakil-wakil mereka.

Sikap politik masyarakat Melayu lebih berpaksikan sentimen terutamanya golongan tua dan golongan pengundi luar bandar. Mereka menyokong UMNO/BN macam golongan muda dan golongan bandar menyokong pasukan bolasepak. Menjadi satu fenomena bagi golongan ini memuja pasukan Manchester United (MU), Liverpool, Chelsea dan Arsenal. Pasukan bolasepak gergasi ini tiada kena-mengena pun dengan harta dan jatidiri rakyat Malaysia. Namun mereka yang gila bola boleh saja bersengkang mata kerana menunggu perlawanan yang melibatkan pasukan pujaan mereka. Mereka rela berhabis duit mengumpul jersey, mafla dan logo kebanggaaan EPL itu. Apabila pasukan pujaan mereka menang, mereka tidak mendapat apa-apa pun. Seduit pun tidak dihulurkan oleh juara EPL kepada mereka. Hendak dibanggakan pun tak layak dan dketawakan orang. Bila pula mereka membuat MOU dengan pasukan itu?

Inilah analogi sikap pengundi yang meletakkan sentimen sebagai asas sokongan mereka. Mereka buat parti politik bagaikan pasukan bolasepak. Mereka bertindak dalam pilihanraya seperti tindakan penyokong fanatik bolasepak. Mana mungkin begini? Di manakah letaknya akal yang waras? Mengapa diperbodohkan diri sendiri?

Menyokong dan memilih pasukan bolasepak tidak melibatkan dosa dan pahala. Siapa-siapa pun secara peribadi boleh meminati pasukan itu dan ini walaupun tanpa sebab yang konkrit. Itu diharuskan sahaja selagi pasukan yang disokong itu tidak membawa imej yang bercanggah dengan Islam. Malah kini telah pun heboh isu simbol syaitan dan minum keras yang terpapar pada jersey pasukan-pasukan berkenaan. Ini bermakna dalam hal sukan pun kita kena teliti agar tidak syirik atau rosak akidah sedangkan sukan pada dasarnya diharuskan oleh syarak.

Apalagi dalam hal politik dan memilih pemimpin. Semestinya melibatkan dosa pahala dan nasib diri serta generasi. Penulis tertarik dengan perbahasan pemuda kampung dalam isu hudud. PAS memperjuangkan hudud manakala UMNO menolak hudud dengan pelbagai alasan.

Kata pemuda itu sebagai konklusi perbahasannya, “ Agama saya kata orang mencuri mesti dipotong tangannya”. Dia berkata demikian kerana oponennya berkeras menolak hukum hudud. Pemuda yang mempertahankan hudud itu menggunakan ‘agama saya’ tidak ‘agama Islam’. Ini yang menarik bagi penulis. Apabila oponennya bertanya, “ Apa agamamu?” Pemuda itu menjawab, “Islamlah.” Lalu oponennya yang mendokong perjuangan UMNO berkata,“ habis, kau seorang saja Islam?” Maksudnya, aku juga Islam macam kamu. Lalu pemuda itu berkata lagi, “Agama aku kata pencuri perlu dipotong tangan. Agamamu kata pencuri sesuai dipenjara. Mana sama agama kita? Kalaulah agama kita sama tentulah hukumnya juga sama.”

Demikianlah satu misalan yang jelas bahawa politik PAS dan UMNO melibatkan hukum dosa dan pahala. Apalagi dalam memilih pemimpin. Tentulah perlu dipilih pemimpin yang jujur, tidak rasuah, boleh memimpin demi kebahagiaan dunia sampai ke akhirat yang kekal abadi. Mana boleh pilih pemimpin kaki rasuah, kaki perempuan, kaki botol, kaki tipu dan kaki sapu.

Kesimpulannya, masyarakat mestilah memilih parti dan mengundi bertolak dari keimanan di dada ( meskipun sedikit) dan disinari oleh akal yang bermaruah lagi bijaksana. Kita akan ditanya di akhirat kelak tentang amalan dan tindakan kita. Sebelum sampai di sana, di dunia ini pun kita inginkan kesejahteraan dan kemakmuran untuk diri dan terutamanya anak-anak kecil kita yang sedang membesar. Kesilapan kita memilih pemimpin bererti kita meletakkan nasib anak-anak kita dalam bahaya, gejala sosial yang menakutkan dan kesesatan hidup yang nyata. Janganlah berpegang kepada dakyah UMNO bahawa hidup hanya sekali sedangkan Islam mengajar kita bahawa hidup dua kali iaitu, sekali di dunia sekadar 60 tahun dan sekali lagi di akhirat yang kekal abadi. Ya, ingat-ingat sesungguhnya hidup ini dua kali, bukan sekali.(sumber:Sabahdaily.com)

2 ulasan:

Awanama berkata...

Betul, tu sebab orang melayu tak bijak bijak dibodohkan oleh umno yang sentiasa hayal bersentimen. Orang-orang melayu yang hayal dengan sentimen apa pun taraq, tersenggeh riang puak umno yang kaya raya bukan setakat harta tetapi juga kaya dengan sentimen-sentimen. Cukuplah tu kita ditipu .... ayuh berubah

Awanama berkata...

Aku menyokong arsenal bukan kerana aku hilang sati diri....pemimpin dangkal sahaja yg mempunyai pendapat mcm ni....aku sokong arsenal kerana minat yg mendalam terhadap sukan bolasepak Dan seni yg lahir dari quality permainan bola yg tinggi....jgn Kaitkan minat Manusia pad a sukan dgn sentiment politik sempit aware Ibrahim.....jauhkan diri kit a dari PKR Dan PR....majulah Utk Nevada...