13 Mac 2011

Peminjam along belanja RM2j guna kad kredit palsu

Tiga warga Malaysia ditahan di UAE
07Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Bukan hanya diugut dan dipukul, kumpulan ceti haram atau along kini bertindak lebih kejam dengan memaksa peminjam melakukan pelbagai jenayah hingga ke luar negara jika gagal melangsaikan hutang mengikut tempoh ditetapkan dengan sasaran utama adalah peminjam di kalangan kaki judi.

Difahamkan, taktik jahat itu terbongkar berikutan penahanan tiga warga Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ahad minggu lalu selepas didapati memiliki dan menggunakan 61 kad kredit palsu bagi membeli pelbagai barangan mewah di Abu Dhabi.

Antara yang dilanggan mereka ialah jam tangan berjenama, set barang kemas eksklusif, tiket penerbangan dan tempahan hotel yang semuanya bernilai hampir RM2 juta.

Sumber memberitahu Berita Minggu, ketiga-tiga suspek mengaku terbabit dalam kegiatan itu selepas dipaksa pihak ketiga di Malaysia, dipercayai along bertujuan mendapatkan sumber kewangan untuk menjelaskan hutang mereka dengan menjual semula barangan mewah berkenaan.

Katanya, dua suspek berusia 29 dan 39 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Abu Dhabi selepas Seksyen Jenayah Terancang (OCS) Jabatan Polis UAE menerima maklumat mengenai aktiviti beli-belah luar biasa mereka, termasuk perbelanjaan lebih RM100,000 dalam tempoh beberapa jam sebaik tiba di situ.

“Ia kemudian membawa kepada penemuan 37 kad kredit palsu yang didakwa mereka diperoleh daripada satu sindiket antarabangsa.
“Pemeriksaan ke atas invois juga mendapati mereka guna kad kredit palsu membeli telefon bimbit mahal, jam tangan dan barang kemas selain menempah hotel dan tiket penerbangan.

“Tujuan membeli pelbagai barangan mewah di sana adalah untuk dibawa pulang dan wang hasil jualan akan diserahkan kepada pihak ketiga di Malaysia, dipercayai kumpulan along. Seorang lagi suspek 25 tahun ditahan di sebuah butik barang kemas di Abu Dhabi.

“Ia berikutan peniaga terbabit mengesyaki sesuatu apabila suspek gelisah selepas kad kreditnya tidak boleh digunakan untuk membeli jam tangan mewah walaupun banyak kali dicuba. Beliau kemudian menghubungi pihak berkuasa yang kemudian menemui 24 kad kredit palsu bersamanya,” katanya.

Beliau berkata, suspek mendakwa dipaksa melakukan jenayah itu untuk membayar hutang judinya di Malaysia dan memaklumkan mahu pulang ke tanah air secepat mungkin selepas berjaya membeli jam tangan berkenaan.

Katanya, penggunaan kad kredit palsu oleh warga Malaysia di UAE semakin meningkat kebelakangan ini dengan sebahagian besar yang ditahan mendakwa diperalatkan sindiket terancang, termasuk kumpulan ceti haram atau along.

“Kebanyakan warga kita yang ditahan mendakwa berhutang banyak dengan along lalu dipaksa melakukan jenayah untuk mendapatkan wang bagi menyelesaikan hutang mereka. Difahamkan, mereka enggan bersekongkol tetapi terpaksa melakukannya kerana bimbang dengan ancaman along terbabit,” katanya. - Agensi

Tiada ulasan: