13 Mac 2011

Tsunami@Jepun : PM Jepun dikecam kerana bertindak perlahan

07 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan hari ini berdepan kecaman media berikutan tindakan kerajaan yang perlahan bagi menangani masalah kebocoran loji nuklear berikutan kejadian gempa bumi kuat, dua hari lalu.

“Tindakan kerajaan menyampaikan maklumat menimbulkan persoalan," kata akhbar Yomiuri Shimbun dalam ruangan pengarangnya.

Ini berikutan berlaku letupan pada bumbung dan dinding di loji reaktor nuklear Fukushima No 1 yang terletak kira-kira 250 kilometer di utara Tokyo selepas gempa paling kuat melanda serta membawa tsunami, Jumaat lalu.

Kebocoran radiasi dilaporkan berlaku di loji berkenaan tetapi kerajaan cuba mengurangkan ketakutan di kalangan penduduk dengan berkata letupan itu tidak memberi kesan radioaktif.

Namun, menurut akhbar itu, kerajaan mengambil masa lima jam untuk menafikan berlaku kebocoran nuklear di loji berkenaan selepas letupan berlaku dengan mendakwa reaksi yang perlahan itu mencetuskan kekeliruan di kalangan penduduk setempat.

"Adakah ia sudah terlambat," kata Yomiuri.

Akhbar harian Asahi Shimbun juga mengutuk tindakan lembab kerajaan apabila menangguhkan operasi mengeluarkan penduduk dari kawasan loji nuklear yang meletup itu.
Akhbar itu memberi tajuk berita: "Pengurusan krisis lintang pukang. Arahan menyelamat tidak tetap."

Akhbar Mainichi Shimbun juga mengkritik Tokyo Electric Power (Tepco), pengendali reaktor nuklear berkenaan apabila sistem pengurusan krisisnya tidak berkesan apabila berdepan nahas.

Akhbar itu memberi tajuk: “Ini adalah di luar daripada bayangan fikiran kita." - AFP

Tiada ulasan: