27 April 2011

Coretan terakhir guru sebelum ajal

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

TAIPING – “Saya tidak sangka coretan ‘Mempunyai firasat yang tidak berapa elok’ tertulis di laman web sosial Facebook Abdullah Zubair Ismail seakan petanda dia akan meninggalkan kami,” kata rakan sekerja, Mohd Noor Hisham Baharom, 48.

Abdullah Zubair, 27, yang berasal dari Taman Jitra, Kedah seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VII mengajar bahasa Melayu dan sejarah serta guru Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) telah berkhidmat di sekolah terbabit selama setahun setengah.

Mohd Noor berkata, mereka menyedari kehilangannya apabila tugas arwah untuk memasang sistem siar raya (PA System) bagi perhimpunan sekolah tidak dilakukan seperti biasa dan diganti dengan guru lain.

“Kami sedih dengan pemergiannya kerana arwah seorang guru muda yang rajin dan komited dengan kerjanya, di samping tidak pernah merungut.

“Ini adalah kali keempat arwah ke bukit terbabit dan tidak menyangka ia kali terakhir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, mangsa dipercayai tergelincir di kawasan curam sejauh 30 meter dan dijumpai dalam keadaan tertiarap.

Menurutnya, terdapat kesan luka di dahi mangsa mungkin disebabkan hentakan dan mangsa ditemui lima kilometer dari kaki Bukit Larut.

“Mangsa ditemui jam 10.30 pagi dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya,” katanya.

Seorang saksi, Wan Solahuddin Wan Abdul Kadir, 46, berkata, awalnya dia bersama pasukan Jabatan Hutan menemui mangsa, tetapi tidak menghampirinya.

Menurutnya, setelah mengesahkan itu mangsa, mereka menghubungi rakan sukarela lain untuk membantu.

“Kami nampak kesan tergelincir di batu, manakala kasut sebelah kanan mangsa tertanggal,” katanya.

Isteri mangsa, Norziah Zulkifli, 26, berkata, dia tidak menyangka minggu lalu adalah kali terakhir dia bertemu suaminya, ketika arwah menghantarnya pulang ke Tanjung Karang, Selangor.

Norziah berkata, arwah menghubunginya pada malam Sabtu lalu memberitahunya, ingin ke Bukit Larut tetapi dia melarang.

“Arwah ketika itu akur dengan permintaan saya supaya tidak pergi, bagaimanapun pada pagi Ahad, arwah telefon semula beritahu dia hendak pergi makan, tetapi tidak beritahu akan ke bukit itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Taiping, semalam.

Menurutnya, dia yang melangsungkan perkahwinan pada November 2009, kini mengandung empat bulan bekerja sebagai guru praktikal di SMK Sungai Burung, Tanjung Karang akan menamatkan praktikalnya Jun depan.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: