27 April 2011

Milan Menghitung Hari

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


ROM - Jurulatih AC Milan, Massimiliano Allegri kini memberi tumpuan untuk mengutip empat mata yang diperlukan bagi menghadiahkan gelaran Seria A buat kali ke-18 kepada kelab Itali itu.

Milan mendahului Seria A dengan kelebihan lapan mata ketika saingan berbaki empat perlawanan.

ALLEGRI semakin hampir untuk memenangi gelaran Serie A bersama AC Milan

Selepas kelebihan memihak kepada pasukan itu dalam rekod pertemuan dengan jiran setempat, Inter Milan, skuad Rossoneri itu hanya memerlukan empat mata lagi untuk ditabalkan sebagai juara.

Malah mereka mampu menjuarai gelaran tersebut sekiranya menewaskan Bologna di gelanggang sendiri pada Ahad ini manakala juara bertahan, Inter tumpas kepada Cesena di tempat lawan sehari sebelum itu.

"Mungkin Ahad ini masih belum cukup (menghadiahkan kejuaraan), jadi kami harus fikir bagaimana untuk mengutip empat mata ini dan seterusnya menjuarai gelaran," kata Allegri.

Milan juga berpeluang merangkul gelaran berganda apabila beraksi dalam separuh akhir Piala Itali meskipun mereka diikat 2-2 oleh Palermo di San Siro.

Satu-satunya kegagalan yang mencalar rekod Allegri musim ini ialah Milan tersingkir awal dalam kempen Liga Juara-Juara.

Setelah menduduki tempat kedua dalam kumpulan di belakang Real Madrid, mereka kemudian disingkirkan oleh Tottenham pada pusingan kedua.

"Kami telah buat setakat yang mampu," katanya.

"Sudah tentu kami sepatutnya menewaskan Tottenham. Kami gagal melakukannya tetapi tiada apa lagi yang patut diperkatakan.

"Buat masa sekarang, kami tidak sepatutnya memikirkan tentang musim depan, kami hanya perlu tumpukan kepada kejuaraan.

"Peluang juga masih ada dalam Piala Itali, jadi kami akan cuba memburu dua misi (liga dan piala) ini yang mana sangat penting buat kelab di Itali," katanya. 

AFP

Tiada ulasan: