07 Jun 2011

Kanak-kanak mati dalam besen

5 Rejab 1432H. [MOD] -

GEORGETOWN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemui mati dalam besen berisi air di sebuah Pusat Jagaan Kanak-kanak, di Jalan Paya Terubong di sini, petang semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.50 petang semalam, disedari penjaga pusat berkenaan selepas beliau tidak melihat kelibat kanak-kanak perempuan itu yang sepatutnya bersama rakan-rakannya yang lain menonton televisyen selepas makan tengah hari.

Stella Chew Xing Rou ditemui tidak bergerak dalam besen selepas dipercayai bermain seorang diri tanpa disedari penjaga pusat jagaan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Abdul Halim Bulat ketika dihubungi berkata, ketika kejadian, kesemua kanak-kanak dan penjaga yang berada di pusat jagaan terbabit sedang menonton televisyen.

“Setelah menyedari kehilangan kanak-kanak terbabit, penjaga berkenaan bertindak mencari di seluruh kawasan rumah dan dia terkejut apabila menemui kanak-kanak terbabit terbaring dan tidak bergerak di dalam besen itu.

“Selepas melaporkan perkara itu kepada pihak pengurusan, kanak-kanak itu terus dibawa di sebuah klinik swasta di Bandar Baru, Farlim sebelum mangsa disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Halim berkata, mayat mangsa kemudiannya dituntut ibunya, Heng Bee Thin, 37, di klinik swasta itu sebelum mayat dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

Menurutnya, kedua ibu bapa kanak-kanak malang itu membuat laporan terhadap pusat jagaan kanak-kanak itu di Balai Polis, Bandar Baru Air Itam di sini, semalam.

“Mayat mangsa dibawa ke HPP dan akan dibedah siasat esok. Sehingga kini polis masih melakukan siasatan dan tidak dapat mengklasifikasikan kes ini,” katanya.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: