03 Jun 2011

Tiada aduan salah laku kempen pemilihan

1 Rejab 1432H. [MOD] -
Hazayani Zakaria
GOMBAK, 3 Jun: PAS tidak menangguhkan pemilihan dalam parti bagi memberi tumpuan kepada pilihan raya umum (PRU) ke-13 seperti yang dilakukan Umno dan parti komponen lain dalam BN kerana yakin perubahan pucuk pimpinan tidak akan menjejaskan perjalanan parti.

Setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, para perwakilan sangat matang dalam membuat pilihan dan yakin sesiapa sahaja yang dipilih dapat mengatur perjalanan parti untuk persiapan PRU ke-13.

"Muktamar kali ini akan berlaku pemilihan pimpinan untuk sesi akan datang.

"Parti lain menangguhkan pemilihan mereka tapi PAS tidak tangguh kerama yakin dengan kematangan perwakilan tidak akan menjejaskan perjalanan parti," kata beliau sewaktu menyampaikan ucapan alu-aluan di Muktamar PAS Pusat kali ke-57 di Dewan Kolej Universiti Islam Datuk Zulkifli Ahmad (KUISZM), Taman Melewar, dekat sini hari ini.

Beliau yang juga pengarah muktamar kali ini berkata, seluruh perwakilan wajar menjadikan muktamar kali ini sebagai medan muhasabah untuk menghadapi PRU ke-13.

"Kita berada di ambang PRU ke-13. Mungkin ini muktamar terakhir sebelum PRU.

"Jadikan mukmtamar ini sebagai medan muhasabah sebelum PRU," katanya. Selain itu menurutnya juga, jawatankuasa pemilihan parti tidak menerima sebarang aduan berkaitan salah laku calon yang bertanding kali ini.

"Jawatankuasa pemilihan parti tidak menerima sebarang laporan salah laku dan pelanggaran etika pertandingan selepas nama yang sah bertanding dikeluarkan sehingga hari ini," katanya.

Sebelum ini beliau pernah menyebut bahawa tiada kempen berlebihan dalam PAS dan invidu yang dilihat berkempen secara berlebihan biasanya tidak akan menang. Proses pengundian akan berlangsung petang ini dan keputusannya akan diketahui esok. (HDaily)

1 ulasan:

Pemuda Pas Bagan Tiang berkata...

selamat bermuktamar