25 Ogos 2011

Gaddafi hilangkan diri, atur strategi

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

PEMBERONTAK memijak patung kepala Gaddafi di Bab al-Aziziya, Tripoli, kelmarin.
Ahli perniagaan tawar RM5.34j tangkap pemimpin diguling

BENGHAZI: Sekumpulan ahli perniagaan Libya menawarkan ganjaran dua juta dinar (RM5.34 juta) kepada sesiapa yang dapat menangkap pemimpin negara itu Muammar Gaddafi, sama ada hidup atau mati, kata Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC).

“NTC menyokong inisiatif ahli perniagaan berkenaan yang sanggup menawarkan dua juta dinar sebagai ganjaran untuk menangkap Gaddafi hidup atau mati,” kata bekas menteri kehakiman Libya Mustafa Abdel Jalil yang berpaling tadah dan menyertai pemberontak.
Beliau berkata pihaknya juga menawarkan pengampunan kepada sekutu atau penyokong Gaddafi yang berjaya menangkap atau membunuh Gaddafi.

“Kami bimbang Gaddafi akan mencetuskan masalah besar berikutan kedegilannya,” kata beliau yang mengesahkan laporan bahawa pertempuran masih berterusan antara penyokong pemimpin itu dan pemberontak di Bab al-Aziziya.

Sementara itu, Gaddafi mengakui sudah meninggalkan kediaman utamanya di Tripoli iaitu Bab al-Aziziyah yang ditawan penentangnya semalam sambil menyifatkan tindakannya menghilangkan diri bertujuan memberikan peluang kepadanya mengatur strategi terhadap musuh.

“Bab al-Aziziyah tiada makna lagi kerana sudah musnah selepas menjadi sasaran 64 kali serangan peluru berpandu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

‘Kami berundur atas sebab taktikal,” katanya dalam ucapan yang disiarkan sebuah laman web stesen televisyen milik anak lelakinya, Saif al-Islam.
Ucapan itu turut dipetik saluran Al-Oruba yang pro-Gaddafi selepas pemberontak merempuh masuk kediaman berkenaan tetapi tidak menemui pemimpin itu atau mana-mana anggota keluarganya.

Tidak diketahui di mana Gaddafi mungkin berada. Tetapi, bagi sesetengah pihak, ada banyak tempat yang boleh melindungi Gaddafi termasuk di bawah tanah.

Lelaki yang memerintah Libya selama 42 tahun dikenali mempunyai banyak kubu bawah tanah di Bab al-Aziziyah di Tripoli.

Beberapa orang pernah melihat terowong itu dan masih tidak jelas ia wujud.
Sepanjang enam bulan pemberontakan, Gaddafi dilihat semakin kurus dan cengkung melakukan beberapa penampilan di khalayak kemudian menghilang.

Selepas pemberontak memasuki kediaman itu, Isnin lalu, pemimpin itu sekali lagi hilang. Ramai pemberontak yakin beliau berkurung di Bab al-Aziziyah, seorang pegawai kanan, Fathi al Baja memberitahu ada laporan mengatakan Gaddafi yang hampir 70 tahun mengalami serangan jantung dan terlantar di kediamannya. – AP/AFP

Tiada ulasan: