09 Ogos 2011

Kes pembunuhan Sosilawati Lawiya: Tertuduh dakwa kena seksa

9 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Pegawai penyiasat paksa mengaku bunuh jutawan kosmetik, tiga rakan

SHAH ALAM: Tertuduh kedua dalam perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, mendakwa dia dipukul dan diseksa termasuk pistol dimasukkan ke dalam mulutnya serta kemaluannya dicubit berkali-kali ketika disoal siasat, September tahun lalu.

T Thilaiyagan, 20, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, dia ‘bagaikan menjadi gila’ apabila didera dan diseksa, termasuk dipanggil anjing dan babi.
Katanya, seksaan itu dilakukan Cif Inspektor N Govindan dan anggota pasukannya ketika menyoal siasatnya pada 11 September tahun lalu. Thilaiyagan berkata, dia dibawa ke sebuah bilik yang diketahuinya sebagai ‘D7’, dan disuruh duduk di atas lantai.

“Dalam bilik itu, ada enam pegawai polis, termasuk Govindan dan ‘Tuan Thiaga’ dan pada mulanya Govindan bertanya nama, pekerjaan, umur dan sama ada saya sudah berkahwin sebelum pegawai polis itu keluar dan masuk kembali membawa akhbar.

“Dalam akhbar itu ada empat gambar, tiga lelaki dan seorang wanita dan Govindan bertanya sama ada saya mengenali mereka,” katanya.

Menjawab soalan peguam bela Gurbachan Singh dalam prosiding bicara dalam bicara (TWT) semalam, tertuduh berkata dalam sesi temu bual itu dia dipukul Govindan dan Thiaga.

"Selepas dipukul, Govindan masukkan pistol ke dalam mulut saya. Govindan arah saya beritahu... saya kena jawab. Saya kena beritahu apa yang dia mahu saya beritahu polis.

"Saya diarahkan mengaku bunuh keempat-empat orang itu. Saya tidak mengaku," katanya di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir di sini, semalam.

Prosiding TWT kedua itu untuk menentukan sama ada keterangan diperoleh daripada Thilaiyagan dan tertuduh ketiga, R Matan, 21, secara sukarela.

Thilayagan juga mendakwa kemaluannya ditendang sekali, selain dadanya ditendang banyak kali ketika disoal siasat.

Katanya, selepas disoal siasat kira-kira empat jam setengah dan Govindan membawanya ke satu bilik lain di mana ada beberapa pegawai polis dan R Khatavarayan (tertuduh keempat) dan di situ pistol dimasukkan ke dalam mulutnya, lehernya dipegang selain dia dipukul.

Thilaiyagan yang ditahan bersama-sama Matan, Khatavarayan dan saksi pendakwaan ke-29, U Suresh, pada 9 September tahun lalu berkata, dia dibawa ke Banting tengah malam 12 September tahun lalu.

Katanya, dia dipaksa ke sungai dan diugut ditembak oleh Govindan jika tidak mahu mengikut.

"Suresh dan Khatavarayan turut dibawa ke sungai. Leher saya dipegang, saya diarahkan tuding jari untuk ambil gambar,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengecam pegawai dan anggota polis yang menderanya, Thilaiyagan mengecam Govindan dan Sarjan N Thiagaraja.

Thilaiyagan juga mengakui turut dipanggil anjing dan babi dan ketika berada di Ladang Gadong, Banting dan diberikan cili api apabila meminta makanan.

“Saya nampak Matan dan Khatavarayan dipukul sehingga mulut dan bibir mereka berdarah, menyebabkan saya takut,” katanya.

Thilaiyagan tidak setuju dengan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin apabila dicadangkan ayat dalam dua laporan polis dibuatnya pada 6 April dan 6 Julai lalu bukan ayatnya sendiri, berikutan bahasa digunakan adalah bahasa Melayu yang tinggi sedangkan dia tidak fasih berbahasa Melayu.

Dia juga tidak bersetuju dengan cadangan Saiful Edris bahawa laporan polis kedua dibuatnya itu atas nasihat peguamnya.

Thilaiyagan mengubah keterangannya mengenai isu kemaluannya dicederakan dengan mengatakan dia dicubit berkali-kali dan lama, tetapi tidak bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yaakob bahawa jika dicubit berkali-kali dia boleh dimasukkan ke hospital serta menafikan ia rekaan semata-mata.

Perbicaraan bersambung hari ini.

utusan/-

Tiada ulasan: