18 Ogos 2011

Umno halang rakyat faham al-Quran

18 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa yang sangat penting kerana kitab suci itu merupakan perlembagaan kehidupan umat Islam.

Tambahnya, tanpa Al-Quran hidup manusia tidak akan terarah dan pasti akan pincang.

“Sudah 54 tahun sejak kita merdeka, Umno telah mengkhianati amanah yang telah diberikan oleh rakyat Malaysia kepada mereka.

“Apa yang kita perhatikan adalah Umno telah gagal untuk melaksanakan Al-Quran dalam erti kata yang sebenar,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, di bawah pemerintahan Umno, Al-Quran hanya diperdengarkan untuk pertandingan sahaja.

Malah, ujarnya Umno telah menggunakan kuasanya untuk menghalang para alim ulamak untuk menyampaikan ajaran Al-Quran dalam erti katanya yang sebenar di rumah-rumah Allah di atas alasan kononnya tidak mahu mencampuradukkan di antara politik dan agama.

“Umnolah bertanggungjawab menghalang usaha-usaha untuk memahamkan rakyat tentang Al-Quran dalam erti kata yang sebenar,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai contoh yang diketahui umum, iaitu usaha Negeri Kelantan untuk melaksanakan undang-undang Islam sepertimana yang dituntut oleh Al-Quran turut mendapat halangan oleh pemimpin Umno yang memerintah negara.

Umno juga, katanya turut menghalang Kerajaan Negeri Terengganu sewaktu pemerintahan PAS dulu daripada melaksanakan undang-undang Islam sepertimana yang dituntut oleh Al-Quran.

Justeru, katanya seluruh umat Islam di Malaysia hendaklah sedar tentang sikap sebenar Umno yang sebenar.

Oleh kerana itulah, tegasnya menjadi suatu kewajipan kepada seluruh umat Islam bangkit bangun dari lamunan yang berusia 54 tahun itu untuk mengembalikan kedaulatan Al-Quran yang telah gagal diperjuangkan oleh Umno.

“Bagaimana Umno ingin memperjuangkan Al-Quran di atas nama nasionalisme?

“Sejak dari mula lagi asasnya pun sudah tidak betul, tak mungkin benih nasionalis dan rasis akan membuahkan Al-Quran,” ujarnya.

harakahdaily/-

1 ulasan:

Awanama berkata...

Menurutnya, sebagai contoh yang diketahui umum, iaitu usaha Negeri Kelantan untuk melaksanakan undang-undang Islam sepertimana yang dituntut oleh Al-Quran turut mendapat halangan oleh pemimpin Umno yang memerintah negara.

Bukan UMNO, tapi rakan2 sebantal PAS yang tak bagi...