16 Oktober 2011

Air banjir wilayah utara dan tengah dijangka melanda Bangkok hari ini

18 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BANGKOK: Air banjir dari wilayah utara dan tengah dijangka tiba di ibu kota ini sama ada hari ini atau esok.

Ketua Pengarah Pengairan Chalit Damrongsak berkata, air banjir itu dijangka pada ketinggian antara 2.3 dan 2.4 meter di atas paras purata laut.

Ketinggian tembok banjir di Bangkok ialah 2.5 meter.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar negara itu mengunjurkan sebelum ini bahawa 16 bilion meter padu air banjir akan tiba di Bangkok.

Lapan bilion meter padu air adalah dari wilayah Nakhon Sawan, enam bilion meter padu dari Ayutthaya, manakala dua bilion meter padu dari Phatum Thani.

Chalit juga berkata, keadaan air pasang laut yang tinggi ketika ini akan berterusan bagi tempoh dua hari akan datang.

Kira-kira satu pertiga daripada Thailand masih dibanjiri, dengan 2.3 juta penduduk dari lebih 10,000 kampung di 24 wilayah di utara dan tengah terjejas akibat banjir yang melanda negara itu secara berperingkat sejak 25 Julai lepas, dengan 297 kematian dicatat setakat ini. - BERNAMA

Tiada ulasan: