31 Januari 2012

Bekalan air: Orang Asli adu pada Suhakam

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 31 Jan: Sekumpulan wakil Orang Asli hari ini membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung tindakan sub-kontraktor memusnahkan dan membuka saluran paip air sehingga menyebabkan penduduk di enam perkampungan Orang Asli tidak mendapat bekalan air bersih.

Difahamkan, tindakan tidak bertanggungjawab itu dilakukan akibat pertelingkahan di antara sub-kontraktor dengan kontraktor utama.

Kontraktor utama,Rossington Sdn Bhd. yang menerima projek tersebut pada 2009 gagal melunaskan bayaran kepada sub-kontraktor seperti yang dijanjikan.

Wakil penduduk kampung Orang Asli Bera, Bob Manolan Mohamad berkata, pihaknya mahu Suhakam menjalankan siasatan berhubung perkara itu termasuk mendapatkan maklumbalas daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

"Kami berharap Suhakam dapat memberi tekanan kepada kontraktor dan kementerian yang terbabit kerana perkara ini menyulitkan orang kampung yang baru sahaja mendapat bekalan air bersih.

"Kami juga meminta Suhakam menghubungi Jabatan Kebajikan Orang Asli yang sampai sekarang belum membuat sebarang kenyataan walaupun aduan sudah dibuat," kata beliau sewaktu membentangkan perkara tersebut kepada Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah.

Kerja-kerja membuka semula saluran paip itu dilakukan secara berperingkat pada minggu kedua bulan ini menyebabkan hampir semua projek itu musnah.

Dimaklumkan, penduduk baru empat hari menerima bekalan air bersih setelah bertahun-tahun terpaksa mengangkut air dari perigi dan sungai.

Enam kampung yang terlibat dalam projek bekalan air bersih itu ialah Kampung Kuala Serting, Kampung Lengot, Kampung Lubuk Perah, Kampung Patil, Kampung Lubuk Tambangan dan Kampung Pasal.

Minta penjelasan menteri

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata, pihaknya akan membawa wakil Orang Asli ini bertemu dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Shafei Afdal bagi mendapatkan penjelasan beliau.

Beliau berkata, Shafei harus menyatakan peruntukan sebenar projek tersebut, dan ia diberikan secara runding terus atau tender terbuka.

"Saya mengesyaki projek ini dijalankan secara runding terus kerana kalau buka tender, semestinya ada dokumen perjanjian dan sub-kontraktor boleh menyaman kontraktor yang belum bayar.

"Tapi kalau secara runding terus, beginilah jadinya dan amalan runding terus ini diamalkan oleh orang politik," kata Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Tambahnya, projek yang dimusnahkan itu adalah sebahagian daripada projek bekalan air ke seluruh Negeri Pahang semasa kempen pilihan raya umum (PRU), 2008 lalu bernilai RM112 juta.

“Memang tidak masuk akal, bertahun-tahun kerja memasukkan bekalan air bila dah siap dimusnahkan pula. Orang siuman tak akan buat kerja seperti itu. Kesian orang kampung, menunggu bekalan air bersih berpuluh tahun bila dah dapat cuma bertahan empat hari sahaja," katanya.

Perbuatan jenayah

Dalam pada itu, Sha'ani selepas mendengar aduan tersebut menyifatkan tindakan sub-kontraktor itu sebagai tindakan jenayah kerana memusnahkan harta awam.

Beliau yang berjanji akan memanjangkan perkara itu kepada pihak berwajib berkata, sub-kontraktor tidak sewajarnya mengambil tindakan sesuka hati sehingga menyebabkan kesusahan orang lain.

"Bila sebut harta awam, ia bukan lagi harta kerajaan. Kalau musnahkan harta awam, itu satu tindakan jenayah.

"Agensi penguatkuasa harus menjadi contoh yang baik dalam perkara ini dengan membuat pemantauan," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak yang membuat aduan bagi membolehkan Suhakam menjalankan peranannya.

"Banyak peruntukan yang diluluskan dengan menjual nama orang lain, tapi orang lain yang dapat untung.

"Perkara-perkara begini harus didedahkan supaya orang ramai tidak terpedaya dengan janji-janji dan pengumuman kerajaan," katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: