19 Februari 2012

Pemandu rempuh tiang elektrik

26 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - KULIM - Seorang lelaki berusia 40-an nyaris maut apabila kereta jenis Volvo yang dipandunya hilang kawalan dan merempuh sebatang tiang elektrik di pekan Kulim, kira-kira jam 1.30 pagi, kelmarin.

Saksi yang berada di tempat kejadian berkata, mangsa memandu kereta dengan laju sebelum memasuki selekoh dan terbabas.

Menurutnya, akibat rempuhan kuat itu, kereta mangsa remuk di bahagian hadapan, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Unit MPV yang berada di tempat kejadian menyatakan mangsa memandu kereta di bawah pengaruh alkohol. Mangsa kemudiannya diarahkan untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis di Balai Trafik,” katanya.

Orang ramai yang berada di tempat kejadian turut kecewa dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana datang ke lokasi kejadian terlalu lewat.

Ketika kemalangan, tiang elektrik yang dirempuh patah dan tumbang di atas jalan raya mengakibatkan laluan itu ditutup.

Untuk memastikan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini, Polis terpaksa berkawal lebih dua jam untuk memastikan tiada kenderaan masuk ke laluan terlibat memandangkan kebal elektrik yang masih aktif berada di atas jalan.

Sementara itu, Ketua Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, kemalangan yang berpunca daripada pemandu mabuk boleh mengakibatkan kecederaan serius.

Katanya, ini kerana pemandu tidak memberikan tumpuan 100 peratus terhadap pemanduan dan ia membahayakan pemandu dan pengguna jalan raya lain.

“Mereka yang di bawah pengaruh alkohol atau mabuk diharap tidak memandu kenderaan mereka, sebaliknya meminta bantuan kawan atau balik dengan teksi.

“Memandu di bawah pengaruh alkohol adalah satu kesalahan trafik serius. Saya sangat berharap semua golongan yang sering minum minuman keras lebih berhati-hati ketika memandu kerana kecuaian dilakukan boleh mengakibatkan maut,” katanya.(SH)

Tiada ulasan: