14 Mac 2012

Tangisan jadi penyelamat

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TUMPAT – Suara tangisan kanak-kanak di tingkat atas rumah kedai dua pintu menyelamatkan keluarganya daripada rentung dalam kebakaran di Kampung Berangan, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, dua kanak-kanak terbabit, Mohd Hafiz Asraf Mohd Sanusi, 2, bersama adiknya, Nurul Ain Balqis, 1, bermain di ruang tamu di tingkat atas.

Manakala bapa saudara mereka, Shamsul Qamar Ismail, 21, sedang tidur di salah sebuah bilik tidur di tingkat atas rumah kedai terbabit.

Pemilik rumah kedai tersebut, Solahuddin Ismail, 36, berkata, rumah kedainya itu menempatkan kedai runcit dan kedai telefon adalah tempatnya mencari rezeki sejak 10 tahun lalu.

“Ketika kejadian saya sedang berniaga barangan runcit di tingkat bawah, tiba-tiba saya terdengar suara tangisan dua anak saudara saya seperti dalam ketakutan dari tingkat atas.

"Dalam masa yang sama, saya terhidu asap tebal dan mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku lalu bergegas ke tingkat atas yang dibina daripada kayu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian berdekatan dengan tapak pasar malam Kampung Berangan.

Menurutnya, apabila dia naik di tingkat atas itu, mendapati bilik tidurnya terbakar dan sepantas kilat mengejutkan adiknya, Shamsul Qamar dan membawa turun anak-anak saudaranya itu.

Katanya, dia kini tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa termasuk wang tunai RM5,000 dan barang kemas milik isterinya yang sedang bercuti bersama dua anaknya di kampung dekat Kuala Krai.

Dalam kejadian kebakaran itu, turut memusnahkan kedai telefon yang disewa oleh Mokhtar Yusof, 34, menyebabkan beliau kerugian sebanyak RM50,000.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Ridzuan Harun berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut pada jam 9.56 dan bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

Menurutnya, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat dan Pengkalan Kubor bersama 13 anggota berjaya memadamkan kebakaran tersebut.

“Punca kebakaran masih disiasat dan dianggarkan kerugian sebanyak RM260,000,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: