24 Jun 2012

Jambatan sementara mendap

4 Syaaban 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Jambatan sementara berdekatan Balai Polis Pulau Sebang, dekat sini, yang menjadi laluan penduduk dari Pulau Sebang ke Kemuning, terpaksa ditutup bermula petang kelmarin kerana berlaku mendapan.

Kejadian itu berlaku ketika hujan lebat kira-kira jam 4 petang sebelum disedari Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Sebang, Zakaria Abdullah.

Zakaria berkata, menjadi rutin hariannya selepas hujan untuk meninjau keadaan jambatan itu bagi memastikannya selamat digunakan penduduk.

Menurutnya, ketika tiba di kawasan jambatan itu, beliau mendapati air sungai melimpah ke arah Alor Gajah.

"Selepas itu, saya lihat batu konkrit di kawasan jambatan sudah beralih kedudukan," katanya.

Zakaria berkata, selepas itu, beliau memaklumkan perkara berkenaan kepada Sidang Kampung, Abdul Malik Sulaiman sebelum merujuk kepada pihak polis dan pihak berkaitan.

“Tanpa membuang masa saya segera menghubungi sidang dan kontraktor untuk menutup jalan dan selepas itu, pihak polis tiba.

“Mujur ketika jambatan itu mendap tiada kenderaan yang melaluinya walaupun kebiasaannya jalan di kawasan ini sering sesak," katanya.

Katanya, diharap pihak kontraktor dapat menyegerakan kerja-kerja baik pulih jambatan sementara itu kerana ia adalah jalan utama penduduk Kemuning, Solok Menggong, Bukit Bulat, Hutan Percha untuk ke Alor Gajah.

Sementara itu, Exco Kerja Raya dan Kemudahan Awam, Datuk Kapt (B) Abd Karim Sulaiman berkata, beliau dimaklumkan perkara itu dan sudah merujuk kepada jurutera daerah Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kita memang tidak menyangka keadaan ini akan berlaku di mana aliran hakisan sungai deras melalui bahagian bawah konkrit menyebabkan struktur jambatan mendap dan mengalami keretakan,” katanya.

Justeru, beliau berharap pihak JKR dapat mengkaji semula penstrukturan jambatan berkenaan berikutan laluan alternatif yang ada sekarang turut mendatangkan kesukaran kepada pengguna jalan raya.

“Saya akan bawa perkara ini dalam perbincangan dengan pihak JKR supaya dapat menggesa pihak kontraktor menyegerakan kerja-kerja baik pulih secepat mungkin,” katanya.

sinar harian/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

macam ni nak buat kilang radioaktif??
kasihan anak cucu kita nanti!