16 Julai 2012

Jalan Kampung Perlu Dinaiktaraf serta Masalah Penduduk Yang Masih Memerlukan Bantuan

26 Syaaban 1433H. [MOD] -

BEKENU - Kampung Selanyau terletak dalam Kawasan Parlimen Sibuti. Sebuah perkampungan yang majoritinya adalah masyarakat kaum Kadayan. Kebanyakan mereka adalah petani dan ada juga yang bekerja dengan kerajaan dan syarikat swasta. Perjalanan dari bandaraya Miri ke Selanyau mengambil masa lebih kurang 50 minit.

Baru-baru ini kita buat kunjungan ke kampung tersebut untuk meninjau keadaan kehidupan masyarakat disitu. Secara amnya penduduk disitu hidup dalam keadaan aman damai dan tiada sebarang gangguan dari pencemaran alam.

Cuma ada beberapa masalah yang perlu diambil perhatian oleh pihak pemerintah iaitu masalah jalan kampung yang agak sempit dan juga beberapa kerosakan yang boleh mengakibatkan kemalangan sekiranya pengguna kenderaan atau penunggang motorsikal tidak memandu dengan cermat lebih-lebih lagi pada waktu malam. Mereka juga memohon agar dipasang lampu jalan kerana pada waktu malam jalan tersebut agak gelap.

Mungkin selama ini penduduk kampung ada buat aduan tetapi tidak diambil peduli oleh pihak yang berkenaan dan mungkin ada sesetengah pihak beranggapan isu ini remeh temeh tetapi sekiranya masalah ini dibiarkan berterusan sudah tentu ini akan merosakkan jalan tersebut dengan lebih teruk lagi. Sebelum sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku, mereka mengharap agar pihak kerajaan dapat menurap jalan tersebut serta membaiki jalan yang rosak dan lopak itu dengan segera.

Disamping itu terdapat juga masalah keluarga yang memohon bantuan E-Kasih dan juga PPRT (Program Pembangunan Rakyat Termiskin) masih belum dapat ditunaikan oleh pihak yang menjaga hal-ehwal kebajikan masyarakat. Menurut salah seorang penduduk disitu, dia mengadu kepada pihak kami yang dia sudah 4 kali mengisi borang PPRT tetapi sehingga kini masih belum dapat jawaban yang memuaskan dari pihak yang berkenaan.

Apabila diaju kepada pihak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kebajikan masyarakat, jawaban mereka amat mengecewakan dimana kata pegawai bertugas disitu “Borang PPRT belum diterima atau mungkin tercicir, kena buat sekali lagi.” Sudah 4 kali beliau memohon tetapi sehingga kini masih belum lagi menerima jawaban yang positif.

Kita mendesak agar pihak kerajaan melaksanakan tugas dengan amanah, jujur dan adil kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik, kerana setiap mereka yang layak seharusnya diberi keutamaan bukan hanya diberi kepada mereka yang ada kepentingan politik atau kroni saja.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Tiada ulasan: