31 Julai 2012

Pas yakin kekal majoriti 2/3 di Kelantan

11 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Di sebalik teka-teki tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Pas Kelantan melahirkan keyakinan mampu pertahankan negeri ini dengan memperoleh majoriti dua pertiga.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keyakinan itu berdasarkan usaha yang dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk kesejahteraan rakyat selain tiada isu besar yang mampu menggugat pemerintahan Pas negeri.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah kerusi yang disasarkan dengan menyifatkan ia sebagai rahsia parti.

“Setakat ini Insya-Allah berdasarkan kajian dan usaha-usaha yang kita buat, kita yakin boleh mempertahankan Kelantan. Paling kurang kita boleh menang dua pertiga kerusi ada dalam tangan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Kedutaan Thailand di sini, kelmarin.

Mohd Amar berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang mengakui menghadapi saingan hebat daripada Pas untuk merampas negeri ini pada PRU13.

Dalam kenyataan itu, Mustapa berkata pihaknya menyedari situasi tersebut memandangkan pengaruh Pas begitu kuat kerana telah memerintah Kelantan selama 22 tahun.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah itu berkata, kenyataan Mustapa tersebut menunjukkan Umno Kelantan realistik kerana menyedari berhadapan masalah besar untuk merampas negeri ini daripada Pas.

“Saya berterima kasih kepada ‘Tok Pa’ (Mustapa) yang bercakap secara objektif dan realistik mengaku ada masalah-masalah yang dihadapi sebab selama ini dia (Mustapa) seolah-olah boleh ambil Kelantan dengan mudah,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Amar berkata, kini perkara asas yang menjadi keutamaan Pas Kelantan adalah bekerja kuat secara berterusan bagi mempertahankan kerusi sedia ada supaya tidak terlepas kepada pihak lain.

“Usaha kita untuk mempertahankan apa yang ada, sekurang-kurangnya mempertahankan kerusi yang kita menangi sebab kita tidak hendak terlepas, itu asas sekarang. Kalau dapat lebih kerusi pun tidak apa, lagi baik,” katanya.

Pada PRU12 yang lalu, Pas Kelantan berjaya menawan 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dari 45 kerusi Dun, manakala Barisan Nasional (BN) hanya memenangi enam kerusi Dun dengan satu kerusi tambahan, Dun Galas.

Bagi kerusi Parlimen pula, Pas berjaya merampas sembilan kerusi dari 14 kerusi Parlimen, manakala BN hanya memenangi dua kerusi Parlimen.

sinar harian/-

Tiada ulasan: