30 Ogos 2012

Clamping Berjaya Kurangkan Kejadian Meletak Kenderaan Merata-rata

11 Syawal 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA, 30 OGOS : Tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengunci tayar kenderaan (clamping) yang tidak diletakkan dengan betul berjaya mengurangkan kesesakkan lalulintas di bandar ini.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, pemandu kereta amat bimbang kenderaan mereka dikunci kerana mereka perlu ke pejabat MPSJ bagi membayar kompaun supaya kenderaan mereka dilepaskan.

“Tindakan mengunci kenderaan jelas memberi kesan positif kepada pengguna di bandar ini.

“Mereka lebih berhati-hati apabila meninggalkan kenderaan mereka di tepi jalan atau di kawasan yang tidak dibenarkan,” kata Asmawi di dalam sidang media selepas mesyuarat penuh bulanan MPSJ di sini hari ini.

Pada 2010, MPSJ mengeluarkan sebanyak 9,592 saman diikuti 5,620 pada 2011. Sehingga Julai tahun ini sebanyak 6,004 saman dikeluarkan.

MPSJ juga mencatatkan perkurangan saman yang dikeluarkan. Pada Januari hingga Mei, 1,000 saman dikeluarkan tetapi Jun hingga Ogos mencatatkan hanya kira-kira 200 saman sahaja.

Sementara itu MPSJ bakal membawa dua kes ke mahkamah atas tuduhan merosakkan alat pengunci kenderaan. Manakala lebih 400 kes lagi dalam senarai menunggu dan telah dibawa ke Timbalan Pendakwaraya MPSJ.

Dalam hal yang lain, Asmawi berkata, MPSJ akan menerima tambahan 50 Kamera Litar Tertutup (CCTV) menjelang akhir tahun ini bagi tujuan pemantauan kejadian kes jenayah di kawasan bandar itu.

Katanya, penerimaan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 174 CCTV yang mana ketika ini 124 CCTV dipasang di seluruh bandar di lokasi strategik.

selangorlu/-

Tiada ulasan: