13 Ogos 2012

Dokumen saman Syabas siap selepas Aidilfitri

24 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Gabungan Menentang Penswastaan Air (CAWP) tetap akan meneruskan tindakan saman terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor Berhad (Syabas) yang sehingga kini masih belum memberikan jawapan berhubung 7 persoalan yang dikemukakan sebelum ini.

Pengerusinya, Charles Santiago (gambar) berkata, tindakan saman ini tetap diteruskan meskipun Kerajaan Persekutuan bersetuju memberikan laluan kepada Kerajaan Negeri untuk melakukan penstrukturan semula air kerana sebelum ini Syabas mendakwa ‘berlakunya krisis air’ di Selangor.

“Sepatutnya Rabu ini (15 Ogos) kami akan mengemukakan tuntutan saman. Tapi pihak peguam memaklumkan beliau masih lagi dalam proses menyediakan dokumen. Kita akan failkan selepas Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Sebelum ini, CAWP bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menghantar memorandum kepada Syabas bagi menjawab tujuh persoalan berhubung krisis air yang didakwa berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketujuh-tujuh isu itu ialah pengaliran air mentah dari empangan dan stesen pengepaman ke dalam loji rawatan, bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke loji rawatan masing-masing bagi tempoh yang sama dan bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke sistem pengagihan kepada pengguna melalui Syabas.

Persoalan lain yang dikemukan dalam memorandum berkenaan adalah buku log dan meter tentukur yang disahkan, bil-bil elektrik dari 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini, penggunaan kimia bagi tempoh yang sama dan bil pembayaran Puncak Niaga Sdn Bhd kepada Syabas untuk air yang dijual bagi tempoh yang sama.

Harakah Daily

Tiada ulasan: