16 September 2012

Mat Sabu: Walau marah, jangan cerca agama lain

29 Syawal 1433H. [MOD] - Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu mengingatkan supaya umat Islam tidak mencerca agama lain dalam menyatakan kemarahan atas penerbitan filem "Innocence of Muslims" yang didakwa menghina Rasulullah SAW. Tegasnya, kemarahan tersebut hanya perlu ditujukan kepada pembikin filem yang dianggapnya "cukup menjijikkan" dan terhadap Amerika Syarikat yang melindungi individu yang betanggungjawab terhadap filem itu.

"Jangan membalas dengan mencerca dan menghina agama lain. Kemarahan kita tertumpu kepada orang yang melakukan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

"Jangan ada unsur-unsur untuk menghina agama lain sama ada Hindu, Buddha, Toisme atau Kristian. Ia bukan ajaran agama Islam," katanya ketika dihubungi Malaysikini hari ini.

Mohamad yang juga pengerusi biro demokrasi dan mobilisasi PAS pusat mengulas reaksi umat Islam ekoran sedutan filem itu di Youtube, telah membangkitkan kemarahan mereka di seluruh dunia sehingga berlaku demonstrasi di beberapa buah negara Islam antaranya di Mesir, Libya dan Sudan.

Malah sebelum ini juga pemimpin PAS, Umno antaranya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengecam penerbitan filem tersebut.

Kerajaan mengumumkan akan menyekat penyiaran filem itu yang jelas menghina agama Islam.

Mengulas lanjut, Mohamad mendesak supaya kerajaan Amerika Syarikat memohon maaf kepada umat Islam seluruh dunia memandangkan sebelum ini ada insiden yang menghina Islam antaranya membakar al-Quran.

"Ia tidak sepatutnya terjadi di negara itu... Amerika perlu memohon maaf dan menghapuskan filem-filem yang seperti itu (selepas ini)," katanya.

Mohamad yang pernah ditahan bawah ISA berkata Pemuda PAS dijangka mengadakan perhimpunan membantah tindakan penyiaran filem itu selepas ini.

Perkara yang sama juga disuarakan oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS pusat Khairul Faizi Ahmad Kamil, Jumaat lalu, yang mahu mengadakan perhimpunan yang lebih besar di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat dan menghantar memorandum bantahan jika tiada tindakan dibuat.

Tiada ulasan: