19 November 2012

Air longkang melimpah

5 Muharram 1433H. [MOD] -

Air longkang melimpah

Rahimi menunjukkan air longkang yang melimpah masuk ke deretan gerai MDT di Taman Rekreasi Tampin.
TAMPIN -  Peniaga gerai Majlis Daerah Tampin (MDT) Taman Rekreasi Tampin, di sini  terpaksa membasuh ruang di hadapan premis akibat air longkang melimpah masuk ke gerai.

Tinjauan ke lokasi berkenaan mendapati, hujan lebat turut membawa aliran air berlumpur dari longkang yang rendah sehingga menyebabkan ia melimpah dan kawasan tempat duduk pengunjung basah.

Peniaga, Rahimi Me, 46, berkata, dia berniaga di lokasi berkenaan sejak Mac lalu dan masalah air longkang melimpah berlaku sejak keadaan cuaca yang hampir setiap hari hujan lebat.

“Kadang-kala saya segan juga kepada pelanggan yang datang ke sini kerana terpaksa melalui simen yang agak licin dan ada juga pelanggan hampir terjatuh.

“Namun, saya tiada pilihan lain selain terpaksa membersihkannya hampir setiap hari bagi memastikan lokasi ini akan tetap dikunjungi pelanggan,” katanya.

Menurutnya, walaupun lokasi gerai itu seolah-olah terlindung daripada pandangan orang ramai kerana tidak terdapat papan tanda di hadapan simpang yang tertera Medan Selera MDT, dia enggan meninggalkan gerai itu kerana lokasinya sangat cantik dan tenang.

Katanya, selain air longkang melimpah, dia juga terpaksa  berdepan dengan masalah sukar  mendapatkan pelanggan sehingga gagal membayar secara konsisten sewa gerai berkenaan yang mencecah RM200 sebulan.

“Ada beberapa keadaan gerai yang perlu diberikan perhatian oleh pihak MDT antaranya tempias air hujan hingga ke bahagian dalam kedai dan perabung atapnya yang sudah bocor. Dua-dua masalah ini  terpaksa ditanggung pelanggan.

“Oleh itu, saya berharap pihak berkaitan dapat mengambil serius mengenai masalah ini demi kebaikan semua pihak terutamanya peniaga dan pelanggan setia yang sanggup berkunjung ke sini,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Tampin (MDT), Razali Bakar ketika dihubungi Sinar Harian menyatakan pihaknya akan menyiasat mengenai masalah berkenaan dan akan menilai tindakan bersesuaian untuk kebaikan semua pihak.

sinar/-

Tiada ulasan: