29 Januari 2013

15 lelaki dicekup leka berjudi

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

15 lelaki dicekup leka berjudi

Serbuan yang dijalankan di sebuah premis kerana disyaki menjalankan kegiatan perjudian secara haram.
MARAN - Dua remaja lelaki berusia 14 dan 18 tahun antara 15 yang ditahan ketika sedang leka bermain judi internet, manakala 42 set komputer dirampas dalam dua serbuan berasingan di Kampung Sungai Kertam, Sri Jaya dan Felda Jengka 8, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, dalam serbuan pertama jam 9.40 malam itu, enam ditahan termasuk seorang penjaga premis berusia 31 tahun.

Menurutnya, sebanyak 21 set komputer dirampas bersama peralatan lain dalam premis berkenaan kerana didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dan kegiatan perjudian.

“Manakala serbuan kedua jam 11.20 malam di premis tidak bernombor belakang sebuah restoran di Jalan Besar Jengka 8, sembilan ditahan termasuk dua remaja.

“Pemeriksaan mendapati kesemua set komputer dalam dua serbuan bersama penguat kuasa Majlis Daerah Maran (MDM) itu terpapar gambar disyaki berunsur perjudian. Turut dirampas wang tunai pelbagai dominasi berjumlah RM506 daripada penjaga premis,” katanya.

Sulaiman berkata, polis akan melakukan pemantauan secara berterusan bagi memerangi kegiatan tersebut dengan kerjasama MDM.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui wujud aktiviti perjudian di kawasan mereka.

sinar/-

Tiada ulasan: