22 Februari 2013

Penagih menyamar orang kampung

11 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA KANGSAR - Polis percaya dapat menyelesaikan enam kes samun di Selangor, Pahang dan Pulau Pinang termasuk kes bunuh di Melaka tahun lalu dengan tertangkapnya seorang penagih dadah di Kota Lama Kiri di sini, kelmarin.

Suspek berusia 33 tahun itu dikatakan tinggal seorang diri di sebuah rumah kayu yang ditinggalkan pemiliknya, dipercayai cuba menyembunyikan diri dan bekerja kampung bagi mengaburi identitinya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Muhammad berkata, lelaki berkenaan ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik berdasarkan maklumat orang awam dan hasil risikan.

Menurutnya, ketika ditahan, suspek tidak mempunyai MyKad dan telah memberikan nama palsu bagi mengelakkan polis menyiasat lebih lanjut terhadap kes lampaunya.

“Namun, nama suspek tidak wujud dalam Jabatan Pendaftaran dan siasatan lanjut mendapati nama sebenar suspek yang beralamat di Gombak Setia, Kuala Lumpur dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Suspek dikehendaki dalam enam kes berasingan melibatkan kes dadah pada 2003, empat kes samun di Sungai Buluh, Prai, Klang dan Selangor dan satu kes bunuh di Melaka,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Abdul Gaffar berkata, suspek ditahan dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

sinar/-

Tiada ulasan: