18 Mei 2013

BN Selangor kalah besar, Noh jadi mangsa Najib

8 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak tidak layak jadi Perdana Menteri kerana hanya tahu mengkambinghitamkan Datuk Seri Noh Omar dan enggan mengambil tanggungjawab atas kekalahan Barisan Nasional (BN) Selangor, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.


Beliau menganggap Noh yang menjadi Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor menjadi mangsa akibat keengganan Najib bertanggungjawab atas kekalahan besar BN di Selangor.

"Hampir semua pihak menganggap Noh digugurkan dari kabinet sebagai hukuman ke atasnya akibat kekalahan teruk BN di Selangor," kata Mahfuz.

BN dan Umno bukan sahaja gagal menawan kembali Selangor seperti yang diimpikan oleh Najib, malah kehilangan lebih banyak kerusi.

Malah, BN mengalami prestasi terburuk apabila hanya 685,502 pengundi yang mengundi parti itu berbanding 1,044,758 pengundi yang mengundi Pakatan Rakyat.

Pemerhati berpendapat, Najib benar-benar menunjukkan kemarahannya kepada Umno Selangor apabila tiada seorang pun pemimpin Umno Selangor yang dilantik sebagai menteri.

Ia memecah rekod kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah kabinet tidak mempunyai wakil dari Umno Selangor.

Paling ketara ialah apabila Noh yang sebelum ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani digugurkan dari kabinet.

"Mengapa Noh dan pemimpin Umno Selangor yang lain sahaja yang perlu bertanggungjawab sedangkan orang paling awal mesti bertanggungjawab atas kekalahan Umno Selangor ialah Najib sendiri kerana beliau bukan sahaja  Pengerusi Perhubungan Umno Selangor malah Pengarah Pilihan Raya BN Selangor.

"Sebab itulah rakyat melihat Noh dimangsakan kerana keengganan Najib untuk bertanggungjawab," kata Mahfuz.

Selain Noh, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman juga dilihat sebagai salah seorang mangsa utama apabila sebarang tempat dalam kerajaan.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: