15 Jun 2013

Anuar, Hanimzah juara qari, qariah

6 Syaaban 1434 H. [MOD] -

Sultan Muhammad V menyampaikan piala kepada Anuar Hasin yang muncul johan dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-56 di Balai Islam, Lundang, Kota Bharu semalam. - UTUSAN/Irwan Majid

KOTA BHARU 14 Jun - Qari Perak, Anuar Hasin, 29, dan qariah Pahang, Hanimzah Jalaluddin, 31, muncul johan kategori qari dan qariah dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-56 di Dewan Besar Balai Islam, Kompleks Islam Lundang di sini, malam ini.


Anuar yang membacakan surah al-Anfaal bermula ayat 45, meraih markah 92.33 peratus manakala Hanimzah memperdengarkan ayat 142 surah al-Baqarah, mendapat markah 88.34 peratus.

Kedua-dua bekas peserta Akademi al-Quran itu menyampaikan bacaan mereka pada malam terakhir iaitu malam keempat majlis tilawah tersebut yang dihadiri lebih 5,000 penonton.

Upacara penutupan majlis tilawah itu disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Turut mengiringi baginda ialah Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Kemenangan itu membolehkan kedua-dua pemenang masing-masing membawa pulang sebuah Proton Preve, wang tunai RM15,000, piala iringan, cenderahati dan sijil penyertaan.

Sementara itu, qari Negeri Sembilan, Amirahman Abas, 31, yang mendapat markah 89.67 peratus muncul naib johan manakala qari Terengganu, Mohamad Hafass Ali, 31, menduduki tempat ketiga dengan kutipan markah 86.67 peratus.

Bagi kategori qariah pula, peserta Johor, Nor Azrah Ayub, 35, muncul naib johan dengan kutipan markah 86 peratus manakala qariah Kedah, Marzian Mohd. Deli, 33, mengikutinya dengan kutipan markah berjumlah 84.34 peratus.

Pemenang tempat kedua dan ketiga bagi kategori masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan RM7,000 berserta cenderahati dan sijil penyertaan.

Sementara itu, johan keseluruhan majlis tilawah tahun ini dimenangi negeri Perak yang mendapat markah purata 87.17 peratus hasil gandingan Anuar dan qariah, Munirah Razali, 24.

Majlis tilawah yang berlangsung bermula 10 Jun lalu bertemakan 'Wasatiyah Tonggak Kesatuan Ummah' itu menyaksikan seramai 29 peserta mengambil bahagian iaitu 14 qari dan 15 qariah.

Pemarkahan dibarisi 15 hakim dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom; Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah; Othman serta kepemimpinan kerajaan negeri dan Pusat.

Tiada ulasan: