13 Jun 2013

Cuti 30 Jun: Terima kasih kerajaan Kelantan


4 Syaaban 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Memahami jiwa rakyat Kelantan yang amat meminati bola sepak, kerajaan PAS Kelantan mengumumkan cuti peristiwa pada 30 Jun ini sempena Perlawanan Akhir Piala FA.


Cuti itu bagi memastikan peminat bola sepak di negeri itu selamat kembali selepas menonton perlawanan akhir antara Kelantan dan Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Usaha kerajaan Kelantan itu, bagi Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan ianya satu penghargaan yang besar buat rakyat negeri itu khususnya peminat bola sepak.

Timbalan Presidennya, Mahizi Mahmud berterima kasih kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob kerana memberi cuti pada hari Ahad kepada penyokong bola sepak agar mereka mempunyai masa yang cukup untuk rehat sebelum bertolak pulang.

"Harap penyokong Kelantan jangan hendak cepat untuk balik, ambil masa dan tenaga supaya perjalanan kita lancar, dan kita tidak mahu apa-apa kecelakaan berlaku semasa datang dan pulang nanti," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau percaya ramai di kalangan penyokong bola sepak Kelantan telah berkira-kira untuk mengambil cuti pada hari Ahad selepas perlawanan, bagaimanapun keputusan kerajaan itu amatlah dialu-alukan.

Mahizi turut berharap agar Menteri Besar bersama-sama hadir ke perlawanan akhir itu nanti sebagai memberi sokongan moral kepada pemain-pemain The Red Warrios.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata mesyuarat Exco kerajaan negeri memutuskan 30 Jun cuti peristiwa setelah mengambil kira cuti berkenaan tidak akan menjejaskan operasi pentadbiran kerajaan dan swasta di Kelantan. 

Pertemuan Kelantan dan Johor DT itu dijadualkan bermula 8.45 malam pada 29 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. 

Kelantan adalah juara bertahan dan ini adalah kali ketiga pasukan 'The Red Warriors' melangkah ke peringkat akhir Piala FA dalam tempoh empat tahun

harakah/-

Tiada ulasan: