29 Jun 2013

Karpal: Jumlah kerusi genap boleh elak DUN tergantung

karpal singh pc in penang20 Syaaban 1434 H. [MOD] -

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) patut memastikan tiada jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) genap bagi mengelakkan DUN tergantung, kata Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh. 

Katanya, persempadanan semula yang akan dijalankan pada hujung tahun ini patut mengambil kira kelemahan mempunyai jumlah DUN yang genap.

"SPR patut menambah sekurang-kurangnya satu kerusi DUN di negeri yang mempunyai jumlah kerusi genap," kata Karpal (kiri) dalam sidang media di George Town hari ini.

Beliau mengulas berhubung kemungkinan di Terengganu selepas pilihan raya kecil Kuala Besut ekoran kematian penyandangnya Dr Abdul Rahman Mokthar, 55, pada Selasa.

Dengan kematiannya, BN dalam keadaan bahaya apabila hanya mempunyai 16 kerusi berbanding Pakatan Rakyat sebanyak 15. 

Jika Pakatan berjaya merampas kerusi itu, situasi DUN tergantung akan berlaku dengan jumlah kerusi kedua-dua pihak sama banyak.

"Pilihan raya ini sangat penting kerana jika PAS menang di Kuala Besut, akan ada keputusan seri (16-16)," katanya.

Negeri lain yang mempunyai jumlah DUN genap seperti berikut: Pulau Pinang (40), Kedah (36), Pahang (42), Selangor (56), Negeri Sembilan (36), Melaka (28), Johor (56) dan Sabah (60).

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: