11 Jun 2013

Pakatan tak pernah bincang boikot angkat sumpah

2 Syaaban 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Isu ahli parlimen Pakatan Rakyat yang didakwa akan memboikot majlis angkat sumpah dan persidangan Dewan Rakyat pada sesi kali ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat, kata Datuk Mahfuz Omar.



Sebaliknya kata Naib Presiden PAS itu, Pakatan Rakyat hanya memutuskan untuk tidak hadir pada majlis taklimat Dewan Rakyat, yang diadakan hari ini.





Justeru, beliau yang juga Ketua Whip Parlimen PAS menjangkakan semua ahli parlimen Pakatan Rakyat akan hadir pada majlis angkat sumpah pada 24 Jun ini, dan seterusnya mengikuti titah ucapan DiRaja pada 25 Jun ini.

"Tidak timbul soal kita memboikot sidang Dewan Rakyat sesi ini, ia akan berjalan seperti biasa. Cuma taklimat hari ini yang kita putuskan untuk tidak hadir," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat dikatakan akan memboikot sidang Dewan Rakyat sebagai tanda protes terhadap sistem pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang didakwa dicemari penipuan.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini dilaporkan berkata, kehadiran hari pertama pada sesi Parlimen adalah penting kerana mengikut peraturan mesyuarat.

Beliau juga berkata ahli parlimen yang tidak hadir pada hari pertama tanpa sebab munasabah dianggap sebagai penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat serta negara ini.

Sementara itu, majlis taklimat yang diadakan hari ini di parlimen hanya dihadiri Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa (gambar), manakala 88 ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain tidak menghadirinya.

EEr Teck Hwa dalam kenyataannya kepada media memohon maaf kerana beliau pergi ke majlis hari ini kerana tidak tahu akan arahan untuk memboikot majlis itu.

Beliau yang merasa terpingga-pingga selepas hanya kesaorang di majlis itu berkata, "Saya memohon maaf dengan sejujur-jujurnya dan akan menerima sebarang tindakan dari parti."


harakah/-

Tiada ulasan: