31 Ogos 2013

Ilmu al-Quran perlu dihidupkan semula

24 Syawal 1434 H. [MOD] -



Pelajar cemerlang Maahad Darul Quran, Nur Atikah Noor Azman menerima Sijil dan Anugerah  Khas Imam As-Syafie daripada Tuan Guru Abdul Hadi.

MARANG: Orang Islam akan menjadi lemah apabila meninggalkan ajaran Islam kerana kekuatan umat dan kemuliaannya terletak kepada Islam, tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Sehubungan itu, beliau memetik ucapan Saidina Omar al-Khattab, “Kita adalah umat yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain dari Islam, kita menerima hukuman penghinaan dan menjadi bangsa yang hina. Percayalah, kita tidak boleh bangkit melainkan dengan Islam”.


Katanya, pada masa yang sama orang Islam sendiri telah meninggalkan ajaran Islam walaupun ‘berpegang’ dengan ajaran Islam. 



“Kita berada dalam keadaan yang sangat menyulitkan, bukan sahaja menyulitkan untuk diri kita bahkan menyulitkan untuk menyelamatkan manusia seluruhnya. 



“Kita menghadapi cabaran yang hebat apabila musuh-musuh Islam sengaja tidak mengizinkan orang Islam memimpin dunia semula. Mereka buat macam-macam terutamanya apabila mereka tahu Islam adalah asas kekuatan orang Islam. 



“Al-Quran adalah punca ilmu orang Islam. Mereka melakukan pelbagai-bagai cara untuk melemahkan orang Islam dalam ilmu agama mereka sendiri. Di Turki, di Indonesia, di beberapa negara Afrika mereka melemahkan orang Islam dalam bahasa Arab, mereka menghilangkan tulisan Arab. Mereka berjaya di Indonesia, mereka berjaya di Turki dan mereka melemahkan di negeri kita ini,” jelasnya ketika berucap merasmikan Ihtifal Idul Ilmi Maahad Darul Quran (MDQ) ke-22 di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan ilmu al-Quran perlu dihidupkan semula dan dikaji melalui bahasanya iaitu bahasa Arab.



Katanya, tanggungjawab mengembalikan semula kepada ilmu al-Quran merupakan suatu kewajipan yang sangat besar kepada umat Islam.



“Tanggungjawab kita untuk mengembalikan semula kepada ilmu al-Quran suatu kewajipan yang sangat besar. Oleh kerana, kita tidak mendapat sokongan dan dukungan dari kerajaan-kerajaan yang memerintah. 



“Maka terpaksalah parti-parti Islam dan kumpulan Islam di seluruh dunia menubuhkan madrasah-madrasah, menubuhkan maahad, menubuhkan universiti, pusat pengajian tinggi dan pelbagai pusat pengajian pondok, pasantren dan lain-lain lagi. 



“Semua tujuannya untuk mempertahankan ilmu Islam dan mengajak semula generasi yang ada supaya menggali ilmu Islam ini untuk mengembalikan semula kekuatan umat kerana kekuatan umat dan kemuliaannya terletak kepada Islam,” tegasnya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: