13 Ogos 2013

Isu surau: PAS Johor dukacita, tak wajar berlaku

6 Syawal 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily.

KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Johor melahirkan rasa amat dukacita dengan insiden terkini membabitkan penggunaan sebuah surau di sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi, bagi aktiviti yang ada kaitan dengan kepercayaan agama lain.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman, ia tidak seharusnya berlaku jika pihak pengurusan resort dan kumpulan agama tersebut peka dengan soal berkaitan agama dan batas kebebasan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, apatah lagi Islam adalah agama rasmi.

Sambil mengalu-alukan siasatan yang dibuat oleh pihak polis dan pihak berkuasa agama, Mazlan dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berharap orang awam harus bertenang dan jangan menghangatkan suasana yang boleh menimbulkan ketegangan agama dan kaum.

"Berlatarbelakangkan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama, semua pihak diingatkan agar mengawal emosi dan tindak-tanduk masing-masing. Kebebasan beragama bukan tiket untuk melakukan tindakan tertentu yang boleh mengguris perasaan pihak lain," tegas beliau dalam kenyataannya itu.

Apapun, tambah beliau PAS percaya ia adalah kes terpencil yang timbul akibat salah faham dan mampu diselenggarakan oleh pihak polis dan pihak berkuasa agama.

Dalam pada itu, Mazlan turut melahirkan kekecewaan dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Ustaz Abd Mutalib Abd Rahim, seperti disiar dalam Sinar Harian Edisi Johor hari ini yang menuduh PAS membisu dalam isu-isu yang mengaib dan menghina agama Islam.

Dakwaan itu, tegas Mazlan bukan sahaja tidak benar, malah berprasangka buruk.

"Walhal, Ustaz Mutalib sendiri punya maklumat mendalam mengenai PAS kerana hubungan yang baik beliau dengan pemimpin PAS Johor sendiri," kata Mazlan.

Katanya, selaku parti dan gerakan Islam yang dasar perjuangannya berteraskan Al Qur'an dan Sunnah, PAS memang sentiasa prihatin dengan isu-isu yang berkaitan akidah dan permasalahan ummah.

Sebagai contoh, kata Mazlan, isu pemindahan Tanah Perkuburan Islam di Pengerang sebelum ini, bukankah PAS bersama NGO Pengerang yang bertindak proaktif apabila timbul berbagai kontroversi?

Justeru, beliau melahirkan rasa dukacita terhadap kenyataan yang dikeluarkan Ustaz Mutalib tersebut.

 

Tiada ulasan: