16 Ogos 2013

Venue final Piala Malaysia ditukar ke Stadium Shah Alam

9 Syawal 1434 H. [MOD] -

PETALING JAYA: Perlawanan akhir Piala Malaysia pada 3 Nov ini akan diadakan di Stadium Shah Alam dan bukan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) seperti dijadualkan sebelum ini, demikian diputuskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini. 


Ini berikutan arahan Kementerian Belia dan Sukan menutup SNBJ dengan serta merta bagi kerja-kerja baik pulih padang stadium berkenaan yang dijangka bermula selewat-lewatnya awal November ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata venue perlawanan akhir itu disahkan selepas jawatankuasa itu mengadakan mesyuarat hampir dua jam dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini. 


Beliau berkata FAM terpaksa memindahkan perlawanan akhir ke Stadium Shah Alam selepas mendapat penjelasan mengenai keadaan padang SNBJ dan kerja-kerja baik pulih daripada Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Ahmad Halmi. 



"Kerja-kerja baik pulih padang SNBJ dijangka dimulakan selewat-lewatnya akhir Oktober atau awal November ini bagi tempoh enam bulan dan hanya boleh digunakan pada Jun tahun depan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu. 



Berikutan penutupan SNBJ, katanya, perlawanan Kumpulan D, pusingan kelayakan Piala Asia 2015 antara skuad Harimau Malaysia menentang Bahrain dan Qatar, masing-masing pada 15 Okt dan 19 Nov ini dijangka diadakan di Stadium Shah Alam. 



Afandi, yang juga naib presiden FAM, bagaimanapun, berkata kata putus mengenai pertukaran venue SNBJ bagi kedua-dua perlawanan itu hanya boleh diumumkan oleh Sekretariat FAM. 
Keadaan padang di SNBJ yang tidak memuaskan dan gagal menepati piawaian antarabangsa itu mendapat perhatian serius selepas pasukan gergasi Sepanyol, Barcelona FC, enggan menggunakan stadium itu untuk perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Harimau Malaya, Sabtu lepas. 



Pihak penganjur terpaksa menukar venue ke Stadium Shah Alam pada saat-saat akhir bagai memenuhi permintaan kelab sensasi Eropah itu. 



Pada perlawanan tersebut, Barcelona FC mengalahkan Harimau Malaya 3-1. - BERNAMA 

Tiada ulasan: