23 September 2013

Petani Mesir ditangkap namakan keldainya Al-Sisi

16 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Satu laporan dari Mesir kelihatannya berusaha mengingatkan seseorang agar berhati-hati mendedahkan apa yang tidak disukainya terhadap seseorang, terutama jika orang itu adalah penguasa.

Justeru, seorang petani di Mesir ditangkap polis setelah dianggap menghina panglima angkatan bersenjata Mesir, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi, lapor Kompas.com.



Omar Abu al-Magd Ali al-Saghir, 31, ditahan Jumaat lalu di Wilayah Qana, di wilayah tengah Mesir kerana menggunakan nama Jeneral Al-Sisi untuk keldainya. 



Tak berhenti di situ, beliau juga memakaikan topi tentera di kepala haiwan itu.



Pejabat berita MENA, Sabtu (21 September) melaporkan Omar Abu ditangkap polis ketika sedang menunggang keledainya di desa kediamannya.



Polis menganggap kombinasi nama Al-Sisi, memakaikan topi tentera dan menunggang keldai itu sebagai satu penghinaan terhadap Jeneral Al-Sisi dan angkatan darat Mesir.



Jeneral Abdel Fatah al-Sisi memimpin angkatan darat menggulingkan Presiden Dr Muhammad Mursi pada 3 Julai lalu.



Al-Sisi kini menguasai tiga jabatan sekaligus iaitu wakil perdana menteri, menteri pertahanan dan panglima angkatan bersenjata.



Al-Sisi sangat popular dalam kalangan masyarakat yang menentang Muhammad Mursi. 



Fotonya mudah ditemui yang dipasang pada tingkap kedai, di dalam kereta dan di pelbagai bangunan di negeri yang paling ramai penduduk penduduknya di Timur Tengah itu.



Namun, dalam kalangan masyarakat yang menyokong Muhammad Mursi, nama Al-Sisi dan angkatan darat sangat dibenci.

Harakahdaily

Tiada ulasan: