16 September 2013

Saham khas gagal tambah ekuiti Bumiputera

10 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR:Beberapa saham bumiputera yang telah diagihkan selama ini gagal meningkatkan  pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat akibat harga saham yang menurun dan tidak menjana kekayaan yang diharapkan, ujar Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid.

Menurut beliau,  suntikan pelaburan atas nama bumiputera harus dilihat dengan kritikal supaya daya tahan pemilikan saham tidak menurun.

“Dalam hal memperkukuhkan pemilikan Aset Bukan Kewangan Bumiputera , kami memerhatikan berlaku ketidaktelusan dalam pembelian dan penjualan aset oleh pelbagai agensi yang mengendali aset atas nama bumiputera,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.


Menurutnya, wujud kecenderungan membeli bangunan atau aset hartanah yang tidak telus sehingga menjadi beban  kewangan kepada agensi terbabit,  malah ada aset yang terbiar tanpa diurus secara produktif.

Apa yang lebih dikesalkan, tambahnya terdapat  penjualan aset oleh agensi terbabit  kepada bukan bumiputera.


“Kami menuntut agar semua agensi yang diamanahkan untuk mengurus aset hartanah dipantau secara profesional dan tidak dipengaruhi  oleh gangguan politik,” ujarnya.



Teras turut menuntut agar  Yayasan Wakaf Malaysia diperkemaskan dan peranan institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Bhd (AHB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Usahawasan Nasional Bhd (Punb) bagi membangun dan memperoleh hartanah komersil dan industri dilakukan secara profesional.



Menyentuh aspek perumahan Bumiputera, Azmi menggesa agar  pembinaan rumah mampu milik kepada bumiputera melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) ditingkatkan dengan pemantauan menyeluruh aspek kualiti.



“Kedudukan kawasan perumahan yang tidak munasabah untuk kaum bumiputera tidak akan mencapai matlamat sepatutnya. Hakikikat bahawa masih banyak perumahan rakyat yang tidak ada pembeli kerana faktor kesesuaian tempat,” ujarnya.



Sehubungan itu, Teras mencadangkan agar kuota perumahan bumiputera di kawasan strategik hendaklah dikuatkuasakan dengan tegas dan tidak membiarkan pemaju melepaskan tanggungjawab sosial mereka untuk meningkat taraf kehidupan kaum bumiputera.


Ketika berucap pada majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera 2013 di UiTM Shah Alam, 14 September lalu, Dato’ Seri Mohd Najib Razak mengumumkan lima langkah bagi memperkasa ekonomi Bumiputera iaitu mempertingkatkan daya modal insan Bumiputera; memantapkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, mengukuhkan aset bukan kewangan, memperhebat keusahawanan dan memantapkan ekosistem penyampaian kerajaan terhadap golongan Bumiputera.

Harakahdaily

Tiada ulasan: