07 Oktober 2013

Bajet Kelantan 2014 penerusan legasi TG Nik Aziz

2 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
YAB Ustaz Dato Ahmad Yakob hari ini 7 Oktober 2013 telah membentangkan Bajet Kelantan 2014 yang masih lagi berimejkan bajet bersyariat seperti yang telah dimulakan sekian lama oleh YB Dato Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat lebih dua dekad yang lampau. Bajet Kelantan hari ini yang bertemakan “Kesejahteraan Rakyat, Kemakmuran Negeri” membayangkan komitmen kerajaan untuk terus mengekalkan identiti Kelantan sebagai sebuah negeri yang berkebajikan selain mengutamakan pembangunan insan yang menjadi tumpuan utama kerajaan negeri.


Bajet Defisit

Sekalipun merupakan Bajet defisit, ia sama sekali tidak akan merencatkan pembangunan negeri Kelantan berasaskan pertimbangan bajet defisit ialah satu isu yang biasa. Semenjak awal pentadbiran PAS di negeri Kelantan contohnya, bajet yang dibentangkan sentiasa defisit namun di akhir tahun, berlaku lebihan hasil daripada kecekapan pengurusan dan penjimatan dalam urusan perbelanjaan. Untuk rekod, pada tahun 1992, dalam anggaran bajet, Kelantan mengalami defisit sebanyak RM16.63 juta, tetapi ketika perbelanjaan sebenar, Kelantan mempunyai lebihan RM9.32 juta. Begitu juga pada tahun 1993, semasa anggaran bajet dibuat, defisit sebanyak RM27.27 juta, tetapi selepas perbelanjaan sebenar, Kelantan masih mempunyai lebihan sebanyak RM30.33 juta.

Bajet 2014 menyaksikan defisit sebanyak RM10.39 juta di mana anggaran hasil ialah RM549.26 juta berbanding anggaran perbelanjaan mengurus dianggarkan berjumlah RM559.64 juta. Faktor terbesarnya ialah kerana jangkaan pengurangan dalam kutipan premium tanah. Adalah dijangka hanya sebanyak RM24.80 juta sahaja premium tanah dapat dikutip berbanding RM45.00 Juta pada tahun 2013. Ini disebabkan tiada pemberian milik tanah secara berskala besar bagi tahun hadapan. Untuk rekod, anggaran hasil pada tahun 2013 ialah RM581.77 juta.

KDNK Lebih Tinggi Dari Nasional

Menarik di dalam pembentangan bajet ini juga mendedahkan bagaimana Keluaran Kasar Dalam Negeri Kelantan telah mengatasi KDNK peringkat nasional beberapa kali. Ini sekaligus menafikan tohmahan bahawa Kelantan mengalami kemunduran di bawah pentadbiran Parti Islam Semalaysia (PAS).

Di dalam bajet ini dinyatakan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Kelantan bagi tahun 2011 ialah sebanyak 6.5% dan bagi tahun 2012 ialah 5.4%. Ini bermakna purata pertumbuhan KDNK bagi kedua-dua tahun tersebut ialah sebanyak 5.95%. Angka ini mengatasi purata kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Nasional di dalam tempoh yang sama iaitu hanya sebanyak 5.35%. Kelantan juga telah mengunjurkan pertumbuhan KDNK  Negeri Kelantan bagi tahun 2013 sebanyak 5.7% dan ini mengatasi unjuran peringkat Nasional yang hanya berada di tangga 5.3% sahaja seperti yang diramalkan oleh para penganalisis ekonomi negara. Antaranya ialah Ketua Pakar Ekonomi RAM Holdings Group, Dr. Yeah Kim Leng seperti yang dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia pada 6 Mei 2013 yang lepas. Bahkan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam satu kenyataannya pada 23 Julai yang lepas hanya berani menjangkakan pertumbuhan sekitar 5-6 peratus untuk tahun ini iaitu angka yang tidak jauh berbeza dengan unjuran negeri Kelantan.

Perjuangan Menuntut Royalti Hasil Petroleum
Sekali lagi untuk Bajet 2014, kerajaan negeri telah memasukkan bayaran petroleum yang patut dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Kelantan iaitu sebanyak RM200.0 juta. Untuk tahun ini, ia membentuk 36.41% daripada keseluruhan bajet. Ia merupakan satu lambang ketegasan kerajaan negeri yang sama sekali tidak akan berundur dari tuntutan hak rakyat negeri Kelantan ke atas hasil mahsul bumi mereka sendiri. Sekalipun kes ini masih dibicarakan di mahkamah, namun ia tetap segar di hati rakyat Kelantan. Bahkan lebih menyedihkan jika benar jumlah tertunggak tuntutan royalti ini ialah sebanyak RM12 billion berdasarkan kepada jumlah pengeluaran semenjak tahun 1997, ia membayangkan betapa besarnya kezaliman yang telah dilakukan oleh kerajaan Pusat selama ini. RM12 billion ini jika diserahkan kepada Kelantan akan dapat digunakan untuk manfaat seluruh rakyat negeri ini yang lebih 90 peratus rakyatnya terdiri daripada orang Melayu.

Justeru, langkah kerajaan Kelantan memasukkan bayaran royalti ini sebagai salah satu anggaran hasil merupakan satu lambang kesungguhan Kelantan untuk terus berdiri mempertahankan tuntutan royalti ini. Ini bukan satu mimpi, ini ialah satu perjuangan yang satu hari nanti pasti akan berjaya Insya-Allah. Kata Sitting Bull, "If we must die, we die defending our rights.."

Di sudut yang lain pula, YAB Ustaz Dato Menteri Besar telah mengambil kesempatan di dalam ucapannya untuk merakamkan setinggi-tinggi junjung kasih dan penghargaan Kehadapan  Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan yang  telah beberapa kali mewakili Kerajaan Negeri Kelantan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi perundingan bersama pihak Kerajaan Pusat bagi mendapatkan tuntutan berkenaan.  Harapan kita, agar adanya sinar harapan di sebalik perkembangan-perkembangan yang sedang berlaku ini.

Pendidikan Kekal Sebagai Agenda Utama

Untuk tujuan pendidikan dan pembinaan modal insan, Kelantan dilihat terus mengekalkan agenda ini sebagai salah satu daripada agenda utama dengan memperuntukkan RM72.0 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi melaksanakan program-program pendidikan. Selain itu, kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan sebanyak RM4.0 juta bagi projek pembangunan, menyelenggara dan menaiktaraf 91 buah sekolah di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan. Jumlah sebanyak RM76 juta ini sebenarnya merupakan satu pelaburan yang cukup besar dari pihak kerajaan untuk memastikan program pendidikan di bawah Yayasan Islam Kelantan berjaya dilaksanakan dengan lancar. Jumlah ini tidak berubah berbanding dengan jumlah yang diperuntukkan di dalam Bajet Kelantan 2013 yang dibentangkan pada tahun lepas membuktikan aspirasi yang sama diwarisi oleh YAB Menteri Besar Kelantan pada hari ini daripada YB Tuan Guru Dato Bentara Setia sebelumnya. Jika dijumlahkan bersama RM2.0 juta peruntukan untuk Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang merupakan satu-satunya instituti pengajian tinggi yang bernaung di bawah kerajaan negeri pula, ia akan menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk pendidikan sebanyak RM78 juta.

Jumlah RM78 juta ini bukannya merupakan satu jumlah yang sedikit. Ia membentuk kira-kira 13 peratus dari jumlah keseluruhan perbelanjaan mengurus pada tahun 2014. Ia menunjukkan komitmen tinggi kerajaan negeri terhadap usaha membangunkan modal insan sebagai pewaris kepimpinan di masa hadapan. Justeru tidak hairan apabila produk-produk kelahiran Yayasan Islam Kelantan terus mencapai kecemerlangan dan mewarnai dada-dada akhbar setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan.

Sepanjang tahun 2012 misalnya, seramai 316 orang pelajar sekolah-sekolah di bawah pengurusan Yayasan Islam Kelantan berjaya mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR),  seramai 186 orang pelajar mendapat 9A hingga 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seramai 115 orang pelajar mendapat pangkat Mumtaz dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Ini berbeza dengan negeri-negeri lain di bawah pentadbiran UMNO/Barisan Nasional di mana pendidikan tidak menjadi agenda utama dalam pembahagian kek perbelanjaan. Perak misalnya hanya  memperuntukkan sejumlah RM42 juta untuk sektor pendidikan daripada keseluruhan bajet berjumlah RM948.47 juta pada tahun 2013 atau hanya kira-kira 4.5% dari jumlah keseluruhan bajet. Begitu juga dengan negeri Johor yang terkenal dengan insituti pengajian agama hanya memperuntukkan sejumlah RM31.27 juta untuk tujuan pendidikan daripada keseluruhan perbelanjaan RM904.26 juta pada tahun 2013. Dalam erti kata lain, jumlah ini membentuk sebanyak 3.4% dari jumlah keseluruhan.

Wanita Sebagai Komponen Utama Masyarakat

Kerajaan negeri juga dilihat tidak memandang rendah peranan wanita sebagai komponen utama di dalam masyarakat. Selain mengekal poftfolio pembangunan wanita yang dipegang oleh Yang Berhormat Puan Mumtaz Mohd Nawi, kerajaan di bawah kepimpinan YAB Ustaz Dato Menteri Besar dilihat sebagai sebuah kerajaan yang cakna terhadap keperluan golongan ini. Ini dapat dibuktikan melalui peruntukan sebanyak sebanyak RM3.8 juta bagi program kebajikan dan pembangunan wanita serta keluarga, program latihan belianita serta lain-lain program supaya mereka boleh bergiat aktif dalam program pembangunan diri dan juga masyarakat. Jumlah ini meningkat berbanding dengan tahun lepas di mana hanya sebanyak RM2.8 juta diperuntukkan untuk tujuan yang sama.

Ini mengukuhkan lagi hujah bahawa kerajaan negeri Kelantan sama sekali tidak mendiskriminasikan golongan wanita di dalam pentadbiran negeri. Di dalam DUN Kelantan, terdapat tiga orang ADUN wanita di mana salah seorang daripadanya ialah ahli exco kerajaan negeri. Salah satu kerusi parlimen di Kelantan iaitu Parlimen Rantau Panjang disandang oleh wanita dan demikian juga seorang Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh kerajan negeri Kelantan merupakan seorang wanita. Dalam erti kata lain, di Kelantan, tangan yang menghayun buaian itu telah lama diberikan kepercayaan yang begitu besar oleh kerajaan negeri untuk memainkan peranan yang optimum dan berkesan.

Lebuhraya dan Stadium: Persoalan Yang Terus Bermain di Minda Rakyat

Di dalam bajet Kelantan 2014 ini, tidak disentuh tentang persoalan pembinaan lebuhraya dan stadium yang menjadi bahan kempen utama PAS Kelantan di dalam menghadapi pilihanraya umum ke 13 yang lepas. Kedua-dua isu ini tidak dapat tidak wajib ditangani dengan bijaksana oleh pimpinan kerajaan negeri kerana ia sedang dipersoalkan oleh rakyat negeri Kelantan dan tidak kurang yang sudah menganggapnya sebagai satu janji hipokrit semata-mata. Adalah dipercayai bahawa, kedua-dua projek ini tidak dibiayai oleh kerajaan negeri bahkan hanyalah merupakan pelaburan pihak ketiga semata-mata merupakan faktor utama ia tidak dimasukkan di dalam pembentangan bajet Kelantan 2014 ini. Namun, di dalam masa yang sama, jika ia dinyatakan dengan jelas di dalam kesempatan yang berprestij ini, ia pasti sekali akan dihargai oleh rakyat Kelantan.

Dalam hal ini, kedua-dua isu tersebut telah diberikan penjelasan oleh kerajaan negeri melalui exco yang berkaitan namun dengan mengenepikan persoalan tentang kedua-duanya di dalam Bajet Kelantan 2014 dibimbangi akan dilihat sebagai satu 'usaha senyap' untuk menenggelamkan kedua-dua isu berkenaan dari dibicarakan oleh rakyat. Dalam situasi langit terbuka seperti hari ini, usaha-usaha berkenaan jika wujud tidak boleh dibiarkan sama sekali.

Penulis berpandangan, kenyataan Timbalan Menteri Besar, Dato Mohd Amar Abdullah pada akhir September lepas bahawa lebuh raya Kelantan sepanjang 78km dari Machang ke Kuala Krai akan mulai dibina pada tahun 2014 dan akan siap dalam masa tempoh tiga tahun banyak membantu meredakan persoalan yang sedang berlegar di kalangan rakyat Kelantan khususnya dan seluruh pendokong Pakatan Rakyat di negara ini. Untuk itu, dokongan dan sokongan dari semua pihak amatlah diharapkan agar kerajaan negeri Kelantan berjaya mencapai sasaran ini.

Rumah Mampu Milik Dan Sasaran Kerajaan Negeri Kelantan

YAB Ustaz Dato Menteri Besar di dalam sidang media selepas mesyuarat Exco kali pertama setelah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan telah menyatakan cita-citanya untuk merealisasikan hasrat kerajaan negeri membina sebanyak mungkin rumah mampu milik kepada rakyat negeri Kelantan yang berpendapatan rendah. Hasrat ini nyata sekali dicerminkan melalui peruntukan sebanyak RM9.0 juta yang disalurkan kepada Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dalam bajet 2014 untuk  membangunkan  Perumahan Awam Kos Rendah. Bajet Kelantan 2014 juga telah meletakkan sasaran yang jelas di mana sekurang-kurangnya 2000 unit rumah mampu milik dibangunkan dalam tempoh empat tahun bermula 2014.

Dalam erti kata lain, menjelang pilihanraya umum ke14 nanti, sebanyak 2000 unit rumah mampu milik sudah berjaya dibina dan digunakan oleh rakyat Kelantan yang berpendapatan rendah. Angka ini secara tidak langsung menjadi satu cabaran kepada kerajaan negeri namun jika ia berjaya dicapai, ia akan menjadi satu testimoni yang cukup kuat bagi rakyat mengekalkan sokongan terhadap kerajaan negeri Kelantan di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Bajet 2014 Penerusan Legasi Tuan Guru

Dilihat secara keseluruhan bajet Kelantan 2014 yang dibentangkan hari ini, jelas sekali cita-cita dan hasrat yang telah diletakkan oleh YB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat selaku mantan Menteri Besar Kelantan untuk membangunkan Kelantan selaras dengan ajaran Islam turut dikongsi bersama penggantinya, YAB Ustaz Dato Ahmad bin Yakob. Tepat sekali pilihan yang telah dibuat sendiri oleh Tuan Guru agar penggantinya meneruskan usaha membangunkan negeri ini berlandaskan syariat Islam dan membuktikan bahawa Islam boleh mentadbir negeri bahkan negara.

Hari ini, amanah yang berat ini sedang terpikul di atas bahu Ustaz Ahmad bin Yakob. Nyata sekali ia bukan amanah yang ringan, ombaknya pasti kuat, badainya juga sangat kencang. Namun, jika rakit berikat utuh, penumpang pula berdiri seimbang, yang mengayuh teruskan berkayuh, jangan ada yang terjun ke tengah gelora, insya-Allah ke muara juga mudik akhirnya.

Berdoalah dan teruskan memberi sokongan kepada kerajaan negeri Kelantan Darul Naim.


*Penulis merupakan Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan

Tiada ulasan: