21 Oktober 2013

Lebih 400 Rumah Di Seberang Perai Dilanda Banjir

16 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

BUKIT MERTAJAM: Lebih 400 buah rumah di tiga daerah di Seberang Perai dilanda banjir kilat sejak lewat malam tadi ekoran hujan turun tanpa henti selama hampir tujuh jam mulai petang Sabtu.

Di Seberang Perai Tengah (SPT), kawasan paling teruk dilanda banjir ialah Permatang Pauh dan Bukit Mertajam yang melibatkan 250 buah rumah dan menyebabkan ada penduduk yang terpaksa berpindah.

Seorang mangsa di Permatang Rawa Mukim 7 di sini, Abdul Razak Ismali, 54, berkata rumahnya dilanda banjir sejak awal pagi Jumaat tetapi tidak teruk berbanding malam tadi kerana pada sebelah siang, air telah surut.
"Hujan lebat turun mulai petang Khamis menyebabkan air naik awal pagi Jumaat, namun surut pada sebelah petang. Tetapi hujan yang turun tanpa henti kira-kira tujuh jam petang semalam menyebabkan air dari sungai berhampiran rumah kami naik.
"Boleh dikatakan 20 buah rumah penduduk dimasuki air hingga paras lutut. Nasib baik kami telah bersiap sedia dengan mengangkat barang-barang ke bahagian lebih tinggi. Kalau tak, pasti semuanya akan rosak," katanya kepada pemberita di sini Ahad.
Selain Permatang Rawa Mukim 7, kawasan Padang Lalang, Permatang Batu, Kebun Sireh, Desa Dana, Simpang Empat dan Tanah Liat di Bukit Mertajam turut dilanda banjir kilat. Abdul Aziz, 50, berkata beliau dan keluarganya terpaksa menumpang sementara di surau berhampiran rumahnya yang tidak dimasuki air banjir.
Rumahnya dimasuki air hingga paras lutut, katanya dan berharap kerajaan negeri dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan mereka.
"Sebelum ini memang berlaku banjir kilat tetapi tidak seteruk dua tahun lepas. Bila hujan turun lebih tiga jam, kami kena bersedia untuk hadapi banjir.
"Jadi kami harap kerajaan negeri dapat melakukan sesuatu untuk bantu penduduk," katanya.
Ketua Umno bahagian Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Said yang turut turun padang melawat mangsa banjir menyalurkan bantuan segera berupa keperluan asas kepada mangsa.
Beliau berkata sebanyak 200 buah rumah di Permatang Pauh terlibat dengan banjir dan ada yang dipindahkan sementara ke masjid atau surau.
"Saya akan berbincang dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di tujuh kawasan di sini," katanya. Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) SPT berkata pihaknya memindahkan 44 orang termasuk dua bayi di Kampung Kuala Tasek Permatang Tinggi di sini ke pusat pemindahan sementara di Masjid Kuala Tasek, Simpang Ampat.
Katanya kebanyakkan rumah mngsa dinaiki air hampir paras pinggang dan mereka terpaksa dipindahkan.
Di Tasek Gelugor, Anggota Parlimennya Datuk Shahbudin Yahaya berkata seramai 300 orang di 13 buah kampung telah dipindahkan ke pusat sementara di Paya Tok Akil, Padang Menora dan Lebuh Banting.
"Mereka adalah daripada 53 buah rumah di 13 kampung berhampiran Sungai Jarak yang dilanda banjit kilat akibat hujan lebat dan air sungai melimpahi kawasan berkenaan.
"Setakat ini kita salurkan bantuan segera berupa keperluan asas dan bantuan susulan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diberikan dalam tempoh terdekat," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: