17 Oktober 2013

Mayat Umat Muslim Tidak Dituntut Harus Dikebumi Dengan Segera

12 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

MIRI - Masalah mayat warga asing yang beragama Islam yang tidak dituntut di rumah mayat hospital Miri berminggu-minggu atau berbulan perlu diuruskan dengan segera oleh pihak hospital Miri dan juga Jabatan Agama Islam sekiranya tiada waris yang datang menuntut. Masalah mayat yang tidak dituntut ini selalunya berlaku keatas warga asing yang bekerja di Miri,  mati akibat kemalangan atau terbunuh dan sebagainya. Antara sebab lain si mati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap serta keluarga si mati sukar dihubungi.

Perkara ini pernah berlaku beberapa tahun yang lalu tetapi masalah ini sudah selesaikan kerana ada seorang warga tempatan yang bermurah hati untuk menguruskan mayat yang tidak dituntut itu.  Sekiranya masih lagi terdapat kes semacam itu berlaku, pihak hospital perlu segera memberitahu pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Agama Islam untuk urusan pengkebumian sekiranya tiada waris si mati datang menuntut.

Begitu juga dengan masalah umat Islam dari luar daerah Miri yang meninggal dunia di Miri yang bukan penduduk Miri terpaksa menunggu terlalu lama proses penghantaran jenazah ke rumah si mati yang jauh dari Miri. Pihak keluarga jenazah terpaksa menunggu doktor dan pihak hospital menandatangani surat dan sebagainya sebelum jenazah mangsa dibenarkan dibawa keluar oleh pihak keluarga si mati.

Masalah akan timbul apabila keluarga si mati miskin yang datang dari jauh terpaksa menggunakan jalan darat dan mengambil masa untuk sampai ke Miri sebelum dapat menuntut mayat seperti kes yang berlaku kepada seorang mangsa kemalangan yang mati di Miri sabtu lalu.  Seorang ibu tua yang terpaksa menunggu beberapa hari untuk membawa jenazah anaknya keluar dari Miri.

Perkara ini didedahkan oleh seseorang kepada pihak kami yang tidak mahu namanya didedahkan. Katanya pihak hospital mengambil terlalu lama untuk menguruskan jenazah mangsa kemalangan sehingga mengambil masa beberapa hari barulah jenazah boleh dihantar balik ke kampung asalnya di Pusak, Saribas dalam bahagian selatan Sarawak. Perjalanan ke Pusak melalui jalan darat mengambil masa lebih kurang dalam 7 jam dari Miri. 

Sekiranya keluarga si mati tidak mampu menguruskan mayat tersebut pihak hospital atau pihak yang berkenaan boleh menghantar mayat tersebut terus ke kampungnya melalui jalan darat atau jika perlu dikebumikan saja di tanah perkuburan Muslim di Miri.

Begitu juga dengan masalah bilik mayat yang terhad di hospital Miri seharusnya diberi perhatian oleh pihak Hospital kerana sekiranya berlaku kemalangan yang mengakibatkan warga asing atau orang luar yang terkorban, sudah tentu sukar bagi pihak hospital hendak meletakkan mayat tersebut sementara menunggu kaum keluarga atau waris mereka datang untuk menuntut.

Kita mengesa pihak Kementerian Kesihatan dan pihak hospital Miri memandang serius perkara ini dengan memberi peruntukan khas dalam pengurusan mangsa kemalangan maut atau yang mati terbunuh yang terpaksa disimpan dalam rumah mayat terlalu lama. Bagi keluarga si mati yang kurang berkemampuan terutama bagi umat Muslim dan juga bangsa lain sepatutnya urusan pengkebumian dilakukan dengan segera mengikut kepercayaan agama masing-masing. Harap perkara ini mendapat perhatian dan tindakan yang sewajarnya dari pihak yang berkenaan.

Jofri Jaraiee
PAS Sarawak

Tiada ulasan: