16 Oktober 2013

Pemimpin S'wak berang dengan keputusan kes 'Allah'

11 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -



 
Keputusan Mahkamah Rayuan yang menghalang penggunaan kalimah Allah dalam majalah Kristian The Herald disambut dengan kenyataan keras dari pemimpin Sarawak, baik dari kumpulan penyokong kerajaan mahupun dari pembangkang.


Beratus-ratus komen muncul di akhbar, portal berita serta di laman blog, Facebook dan Twitter.

Ada di antaranya yang menyatakan kekesalan kerana merasakan bahawa Sarawak dikhianati selepas menyertai persekutuan Malaysia sejak sekian lama.

Selain itu, ada juga yang menuntut agar pemimpin NGO seperti Ikatan Muslimin Malaysia dan PERKASA serta kumpulan fanatik agama lain dihalang dari memasuki negeri itu.

Tidak terkecuali, kumpulan yang menggesa agar golongan Cina dan Dayak Kristian tidak lagi menyokong BN sebagai tanda protes. Golongan Kristian membentuk lebih 70 peratus dari 2.6 juta penduduk di Sarawak.

Antaranya, pengerusi Parti Reformasi Negeri Jeffrey Kitingan yang berkata perdana menteri sepatutnya menunjukkan keikhlasan dalam program transformasi serta politik inklusif dan perdamaian yang diuar-uarkan.

Katanya, perpecahan di kalangan rakyat Malaysia akan berlaku, bukan disebabkan keputusan mahkamah berkenaan tetapi oleh sikap dan dasar berterusan oleh kerajaan BN.

“Perdana menteri dan kerajaan persekutuan perlu diingatkan bahawa isu tersebut bermula apabila menteri dalam neteri pada masa itu mengharamkan (The Herald) daripada merujuk kepada 'Allah', yang timbul dari kuasa budi bicara mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.

Perkara itu jelas menunjukkan bahawa ia adakah tindakan oleh kerajaan persekutuan, katanya yang menambah, kerajaan lupa bahawa ia mentadbir seluruh rakyat Malaysia dan bukan hanya di semenanjung.

“Tidak perlu bagi NGO Islam-Melayu mengisytihar bahawa 'orang Kristian adalah saudara kami' kerana dalam kehidupan sebenar di Sabah dan Sarawak, abang, kakak, ayah dan ibu, suami dan isteri terdiri dari orang Krisitan, Islam dan agama lain...,” katanya lagi.

Tiada ulasan: