Manakala ulama terkenal Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Salahuddin Ayub pula dilihat berpeluang cerah memenangi jawatan itu berdasarkan populariti, kecenderungan perwakilan dan jumlah pencalonan yang diterima.


Sementara ulama dan pemimpin veteran Datuk Abu Bakar Chik yang semakin kurang popular dilihat bakal tersingkir mudah daripada persaingan.

Pada pemilihan dua tahun lalu, Salahuddin memperoleh undi terbanyak (753 undi) diekori Husam (660 undi) dan Mahfuz (616 undi).

Pemerhati politik berpendapat perebutan sengit bakal berlaku antara Husam dan Mahfuz bagi mengisi satu lagi kekosongan kerusi itu.

Semuanya kini bergantung kepada penilaian 1,300 perwakilan terhadap prestasi gerak kerja mereka berdua sebagai wakil rakyat di samping pengaruh hubungan mereka di peringkat akar umbi dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Dari sudut gerak kerja, tidak dinafikan kedua-duanya aktif Bergerak. Mahfuz terkenal dengan Kempen Anti Saman Ekor (KASE) dan Husam pula penggerak utama tuntutan royalti minyak Kelantan dan Lebuh Raya Rakyat sewaktu masih menjadi exco kanan Kelantan.

Bagaimanapun, Husam mungkin sedikit beruntung jika jumlah pencalonan yang diterimanya untuk jawatan kanan parti diambil kira.

Otak geliga vs kurang kontroversi


Jawatankuasa pemilihan tidak mengisytiharkannya, bagaimanapun beliau disebut-sebut mendapat pencalonan kedua terbanyak untuk jawatan timbalan presiden.

Itu dengan sendirinya menggambarkan keyakinan akar umbi terhadap kepimpinannya.

NONE"Gabungkan kawasan yang nak Husam (sebagai) timbalan presiden dan yang nak Husam (kekal) naib presiden, jadi undi Husam makin besar.

"Sebab itu saingan sengit Mahfuz ialah Husam. Mahfuz ada pencalonan naib (presiden) saja," kata sumber-sumber PAS kepadaMalaysiakini.

Bagaimanapun, dari sudut komunikasi dengan akar umbi pula, Husam dilihat kurang mesra, bergerak bersendirian dan sukar dihubungi.

Ini berbeza dengan Mahfuz yang dilihat mesra, diterima pelbagai pihak dan kurang menimbulkan kontroversi.

"Mereka (perwakilan) tahu menilai Husam dan otak geliga dia. Dah politik Kelantan, walaupun Husam bermasalah dalam negeri tetapi di luar, mereka akan sokong habis-habisan," kata sumber itu.

Sebelum ini wujud cakap-cakap di peringkat akar umbi untuk 'merehatkan' Mahfuz yang juga pesuruhjaya PAS Kedah itu demi menumpukan perhatian kepada usaha merampas semula negeri itu yang jatuh ke tangan BN dalam pilihan raya umum lalu.

2 'chai' kumpulan profesional

Bagaimanapun, beberapa pihak melihat peluang Mahfuz dilihat bertambah baik setelah berjaya mempertahankan maruah PAS dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 November lalu, walaupun majoritinya merosot.

NONESelain dilihat sebagai tokoh yang lantang memperkukuhkan Pakatan Rakyat, beliau satu-satunya ahli parlimen PAS di bahagian utara - Perlis, Kedah dan Pulau Pinang - yang menang dalam pilihan raya umum lalu.

Sementara kedudukannya sebagai ketua whip PAS di parlimen juga sedikit sebanyak menonjolkan kewibawaannya di mata anggota parti.

Oleh itu, berdasarkan senario sedia ada, sudah tentu ia menimbulkan rasa berbelah bahagi di kalangan perwakilan untuk membuat keputusan.

Dalam debaran itu, dikatakan penyokong proulama dan profesional telah mengatur gandingan 'chai' masing-masing bagi merebut jawatan itu.

Kumpulan proulama dikatakan mahu menggandingkan Tuan Ibrahim, Abu Bakar dan Salahuddin.

Manakala kumpulan profesional pula masih menimbangkan antara dua pilihan - sama ada mengekalkan status quo atau gandingan baru dengan menggantikan Tuan Ibrahim dengan salah seorang antara Husam dan Mahfuz.

Namun, sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam tempoh seminggu akan datang bergantung kepada kempen terbuka ataupun sulit yang diadakan oleh pihak terlibat.

Muktamar PAS ke-59 akan berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam. Pemilihan dewan-dewan dijadual pada 21 November manakala di peringkat pusat sehari selepas itu.