18 Disember 2013

Barang naik: Khairy disaran henti tindakan populis

14 Safar 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyarankan agar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menghentikan tindakan populis dan segera menjawab keresahan rakyat ekoran daripada kenaikan harga barang dan perkhidmatan hari ini. 


“Mengapa sudah berlaku kenaikan baru hendak berbincang dan kononnya membela nasib belia?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, ramai Ahli Dewan Rakyat yang telah bersidang sehingga 5 Disember lalu termasuk para senator yang sedang bermesyuarat hari ini telah menyuarakan hasrat hati belia namun apakah tindakan kerajaan dalam melayani perkara itu.

Menurutnya, dari masalah kemelut hutang peribadi, pengangguran, gejala sosial, pemilikan harta, akses pendidikan kualiti dan teras jatidiri, semuanya telah dibangkitkan. 

Terbaru, ujarnya Perdana Menteri sendiri telah mendedahkan seramai 68,300 belia telah diisytihar muflis dari tahun 2005 hingga 2012.

“Apa yang dilakukan oleh Menteri Belia dan Sukan itu juga secara tidak langsung dilihat menjawab segala tindakan kerajaan yang menstrukturkan subsidi sejak daripada bulan September yang lalu,” ujarnya. 

Beliau menambah, belia hanya mengharap agar bebanan kesilapan kerajaan dalam mengurus ekonomi negara tidak terus diletakkan ke atas bahu mereka.

“Saya melihat platform yang telah diwujudkan untuk menyuarakan pandangan belia sudah banyak sama ada secara formal mahupun tidak formal,” katanya yang juga AJK PAS Pusat. 

Cuma, ujar beliau bagaimana program-program yang disusun dan diimplementasikan oleh kerajaan selama ini efektif dan efisyen dalam menyelesaikan akar masalah belia.

Oleh yang demikian, beliau menyeru supaya kerajaan segera mengambil langkah konkrit untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat sebelum 1 Januari 2014 ini. 

Tambahnya, enstrukturan subsidi dan kenaikan harga barang serta caj perkhidmatan telah memberi impak negatif terutamanya kepada golongan berpendapatan sederhana di kawasan bandar.


Harakahdaily

Tiada ulasan: