Pemimpin Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) Azan Safar berkata sisasatan polis ke atasnya tidak menghalang beliau untuk meneruskan kempen '2014 Tahun Sengsara Rakyat' melalui perhimpunan besar di Dataran Merdeka pada malam 31 Disember.

NONEAzan, yang dibebaskan polis selepas ditahan selama 20 jam semalam turut mempersoalkan tindakan berkenaan, serta tuduhan “serkap jarang” ke atasnya, kerana didakwa terlibat dalam usaha untuk menggulingkankerajaan.

“Adakah dengan memperjuangkan hak dan suara rakyat supaya bebanan kos sara hidup mereka diturunkan, maka, saya digelar penjenayah berat dan diserbu sebagai seorang penjenayah?

“Hakikatnya, saya menyeru masyarakat turun dan menyatakan sokongan mereka supaya kerajaan tidak mengambil ringan dan memandang enteng masalah beban kos sara hidup rakyat menjelang 2014.

“Di manakah salahnya?,” katanya lagi dalam kenyatannya, yang mengimbau semula detik-detik ketika beliau ditahan sepasukan anggota polis semasa sedang makan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada malam Isnin.

Beliau turut menegaskan bahawa TURUN sama sekali tidak terlibat dengan satu lagi perhimpunan yang dipromosi sebagai "Himpunan Guling Kerajaan", juga pada malam tersebut.
"TURUN sentiasa menghormati sistem demokrasi berparlimen di negara kita," katanya.

malaysiakini.com