01 Januari 2014

Berapa banyak duit mampu dijimat Najib?

28 Safar 1435H. [MOD] -
HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR: “Berapakah jumlah wang rakyat yang dapat diselamatkan daripada 11 langkah untuk menjimatkan perbelanjaan sektor awam yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam?”
Itulah persoalan yang ditanya Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu tulisannya di Facebook petang semalam.

Seperti cacing kepanasan kerana kemarahan rakyat pada kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat angkara polisi kerajaan, Najib semalam berkata kerajaan akan melaksanakan sebelas langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam bermula 1 Januari 2014.
Antaranya ialah mengurangkan 10% elaun keraian menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri dan sebanyak 5% hingga 10% elaun keraian bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (JUSA C) ke atas.
Najib turut mengumumkan inisiatif menurunkan penggunaan elektrik, kemudahan bayaran tol dan mengurangkan penggunaan kain rentang dan makan minum bagi program kerajaan.
Namun begitu, Najib tidak menyatakan berapa banyak jumlah wang rakyat yang dapat diselamatkan daripada 11 inisiatif tersebut seperti yang disoal Tuan Ibrahim.
“Apakah angka target Perdana Menteri? Bagaimana rakyat boleh tahu Perdana Menteri berjaya mencapai sasaran mengurangkan perbelanjaan awam?

“Bagaimana ia boleh diukur? Dan berapa lama masanya untuk mencapai target tersebut?” tambah Tuan Ibrahim.
Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut bertanyakan sekiranya Najib gagal mencapai target yang dikemukakan, apakah tindakan sewajarnya yang perlu diambil beliau.

Sebelum itu, Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan di Facebooknya berkata 11 langkah penjimatan yang diumumkan Najib hanya bersifat kosmestik kerana langsung tidak menyentuh mengenai pembaziran, ketirisan dan keborosan yang ditegur oleh Ketua Audit Negara.
“Langkah yang diumumkan hanyalah sekadar komestik 'penyedap' rasa supaya rakyat kurangkan kemarahan.

“Ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah perbelanjaan negara yang dijangkiti pelbagai pembaziran, ketirisan dan salahguna kuasa.

“Rakyat perlu meneruskan tekanan sambil menanti tindakan yang lebih serius daripada kerajaan untuk mengawal pembelanjaannya,” tegas beliau.

Menurut beliau, kerajaan perlu disedarkan bahawa pendapatan negara boleh ditingkatkan dengan hanya mengawal keborosan dan bukan mengambil daripada kocek rakyat sewenang-wenangnya untuk meneruskan gaya boros dan mewah.

Tiada ulasan: