02 Januari 2014

Jangan buat rusuhan dalam wad hospital

30 Safar 1435H. [MOD] -
DR AZMAN IBRAHIM
Memulakan program tahun baru 2014 dengan menziarahi Bendahari PAS Jabi di dalam Wad Hospital Besut. Beliau disyaki mengidap paru-paru berair. Sebaik sahaja selesai menghantar 3 orang anak lelaki ke Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3, kira-kira jam 6:30 pagi tadi bagi memulakan hari pertama sesi persekolahan 2014, saya terus ke Hospital Besut.

Lebih kurang jam 7:40 pagi saya tiba di perkarangan hospital yang pernah menjadi tempat menabur bakti sekitar awal tahun 2001 lalu. Ramai juga sebenarnya warga Besut yang ‘kehilangan gigi’ angkara saya dalam tempoh saya bertugas di sini.

Kini dah hampir 13 tahun berlalu, hanya tinggal angka yang boleh dibilang jari sahaja warga, kakitangan Hospital Besut yang saya kenali dan mengenali saya. Bila kita sampai ke Hospital berselipar Jepun, tak ada orang yang kenal kita.



7:40 pagi bukan waktu lawatan. Saya memohon keizinan dari pengawal keselamatan untuk masuk seketika sekadar 5 minit bagi menjenguk sahabat di dalam wad. “Masuklah… jangan lama-lama sangat sebab pagi-pagi ni time sibuk.” Ujar pengawal yang berumur hampir sebaya dengan saya itu.

Biasalah bila dah jumpa sahabat, 5 minit mana cukup. Tambahan pula banyak perancangan kewangan Dun yang perlu dibincangkan. Sahabat Bendahari Dun pula cukup bersemangat walaupun dalam keadaan tak berapa sihat.

Sedar-sedar dah setengah jam masa berlalu dan saya mohon diri untuk pergi.
Di pintu wad, pengawal keselamatan tadi tersengih melihat saya.

Saya (S): Minta maaf Abe, lama sikit. Lebih dari 5 minit hok mintak kebenaran tadi.
Pengawal (P): Tak apa… Saya tak dok masalah. Abe pun bukannya mari nak buat demonstrasi, nak buat rusuhan dalam wad. Kalau Abe buat rusuhan, memang saya perambat keluar!
S: Aik! Bakpo pulok tubik cerita demonstrasi, cerita rusuhan ni?
P: Saya memang dok setuju, marah sangat dengan orang hok suka buat kacau, buat rusuhan, ganggu ketenteraman. Kalau nak tukar kerajaan, tukarlah molek-molek!
S: Sapo pulok ni hok buat rusuhan, buat kacau, ganggu ketenteraman? Saya dok faham ni…
P: Tu… di Kuala Lumpur semalam, ada rusuhan. Saya tengok dalam TV pagi tadi. Habis susah orang ramai. Dulu orang bagi perintah negeri sepenggal dok dang apa-apa lagi jatuh doh. Loni duk buat kacau. Kalau nak tukar kerajaan, tukarlah molek-molek. Jangan duk buat kacau!
S: Ooo… hok semalam tu… TV royat berapa orang mati? Saya dok tengok TV lagi pagi ni.
P: Tak dok orang mati…
S: Ada bangunan, pejabat, kedai hok terbakar?
P: Tak dok napok jugok…
S: Ada polis hok cedera?
P: Berita tu dok royat pulok ada polis cedera…
S: Ada kereta terbalik, kena bakar?
P: Dok jugok…
S: Ada kedai, gudang, pasaraya kena rompak?
P: Kita dok tahu sampai setara tuu…
S: Jadi hok Abe kata rusuhan, ganggu keamanan, kacau ketenteraman tu lagu mana pulok? Saya doh faham lagi ni…
P: Dok tahulah… ambo pun pening ni!

Rakan dialog saya ini seorang pengawal keselamatan hospital. Itu level tahap kefahaman dia. Mungkin tahap kefahaman beliau mewakili tahap kefahaman ramai lagi orang lain di luar sana termasuk yang memiliki taraf pendidikan lebih tinggi.

Saya yakin kalau saya sempat bertemu dengan ramai lagi staf Hospital Besut, saya akan dapati mereka yang berjawatan level pegawai pun akan bercakap dengan nada yang sama.

Dalam sistem demokrasi, undi kita yang faham dengan undi mereka yang tak berapa faham, sama-sama satu undi. Tak ada beza. Kita meyakini bahawa bilangan yang berfahaman sebegini masih sangat ramai terutamanya dari kalangan Melayu luar bandar. Mereka inilah simpanan tetap Umno. Maaf… di mana ramai orang close minded, di situlah Umno kuat. Dengan bermodalkan manipulasi maklumat dan fakta, mereka menipu orang ramai.

Orang ramai bila tengok tajuk muka depan sebuah akhbar harian pagi ni ‘Parang, pisau antara senjata ditemui’… Di satu kedai kopi di Bandar Jerteh yang saya singgah untuk sarapan, ramai orang pakat-pakat maki hamun PAS!

Saya perhatikan wajah-wajah yang bermulut huduh tu, sorang pun tak ada yang nampak jernih air muka. Semayang subuh atau tidak puak-puak ni?

Saya banyak meneliti sejarah  ﺇﻧﻘﻼﺏ  atau rampasan kuasa yang berlaku di pelbagai negara.

Revolusi Demi Revolusi di Iraq antara bab khusus dalam Buku 'Travelog di Lembah Sungai Dajlah dan Furat' di mana saya catatkan di dalamnya sejarah siri-siri penggulingan dan rampasan kuasa yang berlaku semenjak dari kejatuhan pemerintahan Keluarga Diraja Iraq hinggalah Saddam Hussein menjadi Presiden.

Tiada satu pun penggulingan tersebut hanya bersenjatakan 3, 4 bilah parang dan pisau! Nak kelentong pun biarlah munasabah sikit bro!

Tiada ulasan: