13 Januari 2014

Mesin Pengitar Dialisis Mudahkan Pesakit Dirawat Ketika Tidur

12 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
PENJAGAAN kesihatan merupakan salah satu sektor fokus di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan antaranya adalah bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit buah pinggang.


Sehubungan itu, satu usaha dilakukan oleh Lucenxia Malaysia, anak syarikat Adventa Bhd bagi memberi harapan baru kepada golongan ini menerusi mesin pengitar Dialisis Peritoneal Automatik Pintar yang direka untuk pesakit melakukan rawatan di rumah ketika mereka sedang tidur.

Projek ini dinamakan Lucenxia Intellis, yang mendapat sokongan kerajaan menerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) sebagai Projek Permulaan Penjagaan Kesihatan dalam Bidang Keberhasilan Ekonomi Utama ETP.
Ianya meningkatkan kualiti hidup dan produktiviti pesakit buah pinggang dan penjaga mereka kerana rawatan dilakukan ketika pesakit sedang tidur.
Ini sekali gus memudahkan pesakit yang tidak perlu lagi menghabiskan masa 4 jam untuk mendapatkan rawatan hemodialisis di pusat dialisis. Dan ini tidak termasuk masa perjalanan pesakit pergi dan balik untuk mendapatkan rawatan.
Lucenxia Intellis menawarkan modaliti rawatan pesakit yang lebih baik dan meingkatkan kualiti hidup kepada pesakit kerana menawarkan rawatan dialisis peritoneal (PD) yang mudah diperolehi, diperibadikan dan pintar menerusi rawatan berteraskan pesakit dan program sokongan masa.
Sejak PD diperkenalkan di Malaysia sejak 20 tahun lalu, Lucenxia telah memanfaatkan pengalamannya, dan menerusi kajian dan pembangunan yang komprehensif bagi menghasilkan Lucenxia Intellis, sebuah produk yang dibangunkan di Malaysia bersama Lucenxia Prescience AG dari Switzerland.
Pengitar Lucenxia Intellis (APD) dilengkapi dengan bahasa tempatan dalam bentuk visual dan audio, menjadikan ia mudah digunakan oleh pesakit.
Bagi memudahkan penggunaan pesakit, mereka tidak perlu untuk memahami kod dan mempelajari cara memprogram yang rumit, sebaliknya Lucenxia Intellis bercakap kepada pesakit dalam bahasa yang dipilih.
Malaysia bakal menyaksikan peranti perubatan yang benar-benar inovatif dan buatan tempatan, yang berpotensi untuk dikongsikan ke serata dunia.
Menurut Pengarah Urusan Lucenxia, Low Chin Guan, pada 2012, terdapat 28,590 orang pesakit yang menerima dialisis di Malaysia, dan majoriti (91%) menggunakan hemodialisis (HD), hanya 8% menggunakan dialisis peritoneal (PD).
“Kos rawatan dialisis dianggarkan melebihi RM35,000 setahun kerana pesakit perlu menerima rawatan tersebut 13 kali sebulan, 4 jam setiap sesi. PD memberikan pesakit lebih kebebasan kerana rawatan boleh dilakukan di rumah.
“Pesakit cuma perlu mejalani latihan tentang cara menggunakan mesin tersebut supaya mereka boleh melakukannya sendiri di rumah,” katanya dalam satu kenyataan.
Lucenxia (M) Sdn Bhd memperuntukkan sejumlah RM494.4 juta untuk program tersebut menjelangg 2020 yang akan memberi kesan kepada pendapatan kasar negara (GNI) sebanyak RM197.5 juta menjelang 2020.
Dalam pada itu, projek tersebut juga akan menghasilkan 113 peluang pekerjaan menjelang 2020.

mStar

Tiada ulasan: