10 Februari 2014

'Bersihkan' Taib Mahmud sebelum dilantik TYT

10 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

Pemuda PAS Sarawak menggesa Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dibersihkan daripada segala dakwaan pecah amanah sebelum dicadangkan sebagai Yang Dipertua Negeri.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini,  Ketua Pemuda PAS Sarawak, Mohammad Arifiriazul Paijo (gambar) berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan Ketua
Pemuda PAS Malaysia dan Setiausaha Perhubungan PAS Sarawak agar hasrat untuk melantik Abdul Taib sebagai Yang Dipertua Negeri ditangguhkan sehingga siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diselesaikan.
Sambil menyambut baik pengumuman pengunduran Abdul Taib, Arif mengucapkan terima kasih di atas sumbangan dan jasa pembangunan yang dibawa beliau sepanjang menjawat Ketua Menteri.


"Dalam masa yang sama, Pemuda PAS Sarawak ingin meminta penjelasan perkembangan  siasatan oleh badan petugas khas berkenaan pertuduhan di dalam rakaman video 'Global Witness' yang telah ditubuhkan oleh pihak SPRM pada pertengahan tahun 2013.
"Sekiranya hasil siasatan tersebut boleh membuktikan Pehin Sri (Abdul Taib Mahmud) tidak terlibat maka ini akan membuktikan beliau bersih dari pelbagai tuduhan pecah amanah dan menyakinkan semua pihak," ujarnya.
Menurut Arif, prinsip demokrasi politik Sarawak menuntut agar suara rakyat tidak dipinggirkan dan keputusan untuk melantik Yang Dipertua Negeri bukan hak eksklusif parti pemerintah, Parti Bumiputera Bersatu (PBB).
"Saya sebagai anak jati Sarawak yang telah dilahirkan di Limbang, yang lahir pada era pemerintahan Pehin Sri sebagai Ketua Menteri Sarawak ingin melihat Negeri Sarawak yang saya cintai ini dipelihara dan dibebaskan daripada pemerintahan yang dipenuhi dengan pelbagai skandal rasuah serta salah guna kuasa.
"Saya dan seluruh rakyat Sarawak sayang kepada negeri Sarawak," ujar Arif.

Tiada ulasan: