09 Februari 2014

Jenazah Pak Yazid selamat dikebumikan

9 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Jenazah veteran PAS dan pendakwah terkenal, Ustaz Yazid Jaafar yang meninggal dunia pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ampang sebentar tadi.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Jamek Kampung Baru dengan dimami Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ribuan umat Islam turut sama menyembahyangkan jenazah Allahyarham.
Sebelum daripada itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob turut mengimami solat jenazah di kediaman Allahyarham sebelum jenazah dibawa ke masjid.

Allahyarham Pak Yazid ialah seorang pesara tentera. Pernah menjawat Yang Dipertua Persatuan Bekas Perajurit Force 136, beliau mengetuai  perbarisan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Pak Yazid menyertai PAS pada 1956 dan pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor pada 1970-1974.
Pada pilihan raya umum (PRU) 1969, beliau bertanding mewakili PAS di kawasan Parlimen Pekan melawan Tun Abdul Razak Husein daripada Perikatan.
Menjadi petugas sepenuh masa Pejabat Agung PAS dari 1964 hingga 1974, beliau juga pernah menjadi guru agama dan pendakwah di Lembah Klang dari dekad  1960 hingga ke akhir hayat. 
Kediaman beliau di Kampung Baru pernah dijadikan lokasi kuliah mingguan dan menjadi tempat tumpuan popular para pencinta ilmu pada setiap hujung minggu.
Ceramah agama yang sering diselitkan dengan kisah masyarakat dan unsur humor menjadikan Pak Yazid antara pendakwah terkemuka pada dekad 80-an dan 90-an.
Semoga Allah SWT menempatkan roh beliau bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan orang-orang yang Saleh. Al-Fatihah.

Tiada ulasan: