11 Februari 2014

Pasangan Malaysia di Sweden akhirnya didakwa

11 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pasangan Malaysia didakwa secara berasingan di Mahkamah Daerah Stockholm, Sweden semalam atas pertuduhan mengasari dan mencabuli integriti anak-anak mereka.
    
Pendakwa Raya Anne Arnelle dalam satu kenyataan berkata, Shalwati Norshal dan suaminya Azizul Raheem Awalludin dituduh mengasari anak-anak mereka dari 15 Sept 2010 hingga 17 Dis 2013, di kediaman mereka di Sweden.
    
Perbicaraan kes pasangan itu ditetapkan bermula pada 18 Feb ini dan dijangka mengambil masa 10 hari.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan perkembangan terkini pasangan itu.

Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji dan suaminya Azizul Raheem, seorang pegawai Tourism Malaysia di Sweden telah ditahan reman semenjak 18 Dis tahun lepas atas tuduhan memukul tangan seorang daripada anak lelakinya kerana tidak bersolat.

Keempat-empat anak pasangan itu, Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7 yang sebelum ini ditempatkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan beragama Islam di Sweden kerana kes itu, telah diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Stockholm pada 30 Jan lepas.
    
Kesemua anak pasangan itu pulang ke Malaysia pada 31 Jan lepas dan kini dijaga oleh bapa dan emak saudara mereka di Kelantan.

Sementara itu di KOTA BAHARU, kempat-empat anak pasangan itu dilaporkan sedih sebaik sahaja mengetahui ibu bapa mereka akan dibicarakan menerusi laporan berita di televisyen.
    
Ibu saudara mereka, Shaleena Norshal, 42, ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor, di sini berkata anak-anak saudaranya itu sedih apabila mengetahui berita itu namun dapat ditenangkan oleh anggota keluarga.
    
Abang Shalwati, Badrul Hisham Mahzan, 55, ketika dihubungi Bernama berkata keluarga reda dengan keputusan pihak berkuasa Sweden untuk mendakwa adik dan adik iparnya itu.
    
"Apa pun kami pasrah dan reda dengan keputusan itu dan berharap rakyat Malaysia akan terus berdoa buat mereka," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: