21 April 2014

Himpunan 1 Mei tetap di Dataran, tiada perubahan

22 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -


Perhimpunan membantah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 Mei depan di Dataran Merdeka Kuala Lumpur setakat ini tidak berubah dan tetap mengikut seperti yang dijadualkan.
"(Lokasi himpunan) tidak berubah. Ada bahagian penambahbaikan, ada bahagian kosong (tanpa penambahbaikan).

"Kumpulan NGO akan berhimpun di KLCC dan penyokong parti politik akan berada di sekitar Kuala Lumpur," kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Mohamad berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita untuk mengesahkan rancangan penganjur yang mahu berhimpun di Dataran Merdeka seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Beliau berkata demikian setelah hadir di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi di ibu negara bersama pemimpin PKR dan DAP untuk rundingan dengan pihak polis.

Turut hadir dalam delegasi Pakatan Rakyat Naib Presiden PKR Tian Chua, Ahli Jawatankuasa PAS Dr Hatta Ramli dan Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong.

Walaupun dilihat tiada keputusan rasmi dalam perbincangan itu, Tian Chua yang juga ahli parlimen Batu berkata polis "tiada halangan perhimpunan diadakan".

Dan, katanya lagi, jemputan kepada Pakatan ke IPD Dang Wangi bagi memastikan "ia diteruskan dengan baik".

"Kita beri jaminan akan kerjasama dengan polis supaya tidak berlaku gangguan kepada orang awam dan kita tidak mahu mewujudkan ketegangan," katanya.

Ditanya larangan polis supaya perarakan tidak dibuat, Tian Chua bagaimanapun menjelaskan bahawa mereka bukan sebagai penganjur himpunan itu.

"Kami bukan penganjur. Kami tak boleh beri jawapan. Kita berunding dahulu dengan membawa segala pandangan kepada pihak penganjur. Kita akan maklum (hasilnya) dalam tempoh terdekat," katanya.

Jawatankuasa penganjur perhimpunan yang antaranya menolak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) itu dipengerusikan oleh S Arutchelvan yang juga setiausaha agung Perti Sosialis Malaysia (PSM).

Mengulas berhubung DBKL tidak memberi kebenaran menggunakan Dataran Merdeka kerana kerja penambahbaikan, Tian Chua berkata pihaknya akan berbincang dengan penganjur.

"Kami akan buat perincian, kalau ada adjust, kami beritahu," katanya sambil menambah polis meminta mereka memaklumkan pengubahsuaian lebih awal untuk memastikan perjalanan perhimpunan berjalan lancar.

Pertemuan selama sejam bermula 2 petang itu turut disertai Ketua Polis Dang Wangi Zainuddin Ahmad dan lima pegawainya.

Tiada ulasan: