04 April 2014

Mangsa panahan petir meninggal di ICU

3 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -
Melaka Tengah: Pelajar Tingkatan Satu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ayer Paabas, Alor Gajah, yang dipanah petir di padang sekolah itu Selasa lalu, meninggal dunia, semalam. 

Johan Jasmin, 13, meninggal dunia di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka jam 3.50 petang. 

Pengarah Komunikasi Korporat MARA, Rohayah Mohd Zain, yang mengesahkan perkara itu, berkata jenazah anak bongsu daripada dua beradik itu akan dibawa ke rumah keluarganya di Jelutong Heights, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor. 


“Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Tunku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong esok (hari ini) dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, pada jam 10 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. 


Tiba-tiba rebah 

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Selasa lalu, Johan bersama sekumpulan pelajar lain dikatakan sedang berjalan masuk ke bangunan asrama sebelum tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri akibat terkena panahan petir. 
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Alor Gajah, sebelum dirujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan. 

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, menyarankan semua sekolah berasrama di Melaka memasang sistem amaran keselamatan bagi mengelakkan kejadian buruk berulang. 
“Usaha ini adalah satu daripada inisiatif kerajaan negeri untuk mencegah kes pelajar dipanah petir berulang,” katanya selepas merasmikan Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Inovasi Negeri Melaka 2014 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

BeritaHarian

Tiada ulasan: