05 April 2014

RM8 juta diperlukan tambah baik Kompleks PAS Kedah

4 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -
ALOR SETAR: PAS Kedah memerlukan RM8 juta untuk membina bangunan pentadbiran Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.


RM6 juta diperlukan bagi kerja-kerja pembinaan manakala RM2 juta untuk membeli bahan binaan.

Bagi tujuan tersebut, PAS Kedah menganjurkan majlis makan malam bagi mengutip dana di Dewan Datuk Fadzil Noor, Kompleks PAS Kota Sarang Semut, malam tadi.
Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyempurnakan gimik pelancaran dana bangunan yang akan dibina di atas tapak seluas 3.1 hektar.

Beliau dalam ucapannya menegaskan, setiap sumbangan yang diberikan bagi perjuangan Islam memberikan kesan yang besar kepada masa depan Islam.

"Perjuangan memerlukan sumbangan kewangan, jiwa dan rasa.

"Setiap sumbangan kita akan memberikan fadilat yang besar apabila mati nanti," katanya.

Turut berucap ialah Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan timbalannya Datuk Ir Amiruddin Hamzah serta Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat.

Sementara itu, PAS Kawasan Sungai Petani diumumkan sebagai kawasan yang paling banyak membeli meja iaitu sebanyak 10 meja.

"Terima kasih dan tahniah kepada PAS Sungai Petani yang menunjukkan komitmen untuk mengutip dana," katanya.

Makan malam tersebut mensasarkan kutipan sebanyak RM20,000.

Harakahdaily

Tiada ulasan: